KANE bersama keluarganya melambai ke arah penyokong Tottenham. -FOTO Reuters
KANE bersama keluarganya melambai ke arah penyokong Tottenham. -FOTO Reuters
AFP

London: Ryan Mason menegaskan Harry Kane bukannya mengucapkan selamat tinggal kepada Tottenham selepas kapten England itu dilihat melambai kepada penyokong susulan kekalahan 1-3 menentang Brentford.

Sepakan percuma Kane meletakkan Tottenham di hadapan selepas lapan minit untuk gol ke-30 dalam semua pertandingan musim ini.

Tetapi Brentford bertindak balas dengan dua gol Bryan Mbeumo dan gol lewat perlawanan dari Yoane Wissa menyebabkan penyokong Tottenham kecewa dan melaungkan agar pengerusi Daniel Levy dibuang.

Selepas perlawanan terakhir Tottenham di tempat sendiri dalam kempen yang suram, pemain berjalan melakukan pusingan penghormatan di hadapan stadium yang sebahagian besarnya sudah kosong.

Kane melambai kepada peminat yang masih ada di dalam stadium dalam apa yang ditafsirkan sebagai selamat tinggal di tengah-tengah ketidakpastian yang semakin meningkat mengenai masa depannya.

Selepas dia gagal merancang perpindahan ke Manchester City pada 2021, Kane, yang mempunyai baki setahun dalam kontraknya, dikaitkan dengan Bayern Munich, Paris Saint-Germain dan Manchester United.

Tetapi pengendali sementara Mason berkata: "Dia melambai kepada orang ramai setiap musim. Saya masih ingat duduk di sini dua tahun lalu dan anda semua yakin dia akan pergi, berkata perkara yang sama.

"Ia adalah perlawanan terakhir di laman sendiri musim ini jadi dia mahu menunjukkan penghargaannya terhadap sokongan yang dia terima dan kami semua menerima musim ini."

Kekalahan berturut-turut melenyapkan harapan Tottenham untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Kegagalan layak ke saingan Eropah akan menjadi kesimpulan yang sesuai untuk kempen bermasalah yang mengundang kepada pemergian Antonio Conte selepas dia melabelkan pemain mementingkan diri sendiri dan mengkritik budaya kelab yang kali terakhir memenangi piala pada 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 10:44 AM