EMERSON Royal (kanan) meraikan jaringannya. FOTO REUTERS
EMERSON Royal (kanan) meraikan jaringannya. FOTO REUTERS
AFP

London: Pengurus Tottenham, Ange Postecoglou berkata pasukannya memberi keyakinan kepada penyokong di sebalik ketiadaan Harry Kane selepas seri 2-2 dengan Brentford pada aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Penjaring gol sepanjang zaman Spurs itu menyertai Bayern Munich hanya 24 jam sebelum Tottenham memulakan aksi pertama mereka di saingan EPL.

Menjaringkan gol bukanlah masalah buat pelawat dalam perlawanan kompetitif pertama Postecoglou apabila pemain pertahanan, Cristian Romero dan Emerson Royal masing-masing meledak gol awal di minit ke-11 dan pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Tetapi di antara itu, kelemahan pertahanan Tottenham terserlah apabila Brentford menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Bryan Mbeumo minit ke-27 dan kemudian mendahului hasil percubaan Yoane Wissa minit ke-36.

"Harry Kane adalah tonggak utama kelab ini sejak sekian lama dan akan terus diingati sama ada dia berada di sini atau tidak.

"Kami mahu turun beraksi dan memberi penyokong harapan serta kepercayaan terhadap pasukan. Saya fikir mereka berjaya melakukannya pada perlawanan ini," kata Postecoglou.

Postecoglou mengambil keputusan untuk mengeluarkan Romero sejurus selepas dia membuka jaringan pada minit ke-11 kerana dibimbangi mengalami gegaran otak walaupun mendapat bantahan daripada bek tengah Argentina itu.

Jurulatih dari Australia itu berkata, dia tidak menyesal dengan keputusan itu, tetapi mengkritik fakta ia tidak dikira sebagai menggantikan pemain yang mengalami gegaran otak.

Pasukan Liga Perdana dibenarkan membuat dua pertukaran tambahan, selain daripada lima yang diperuntukkan, iaitu untuk kes menggantikan pemain yang disyaki mengalami gegaran otak.

"Sangat jelas mengapa kami mengeluarkannya. Kami tidak akan mengambil sebarang risiko dengan pemain kami apabila kami tahu mengenai kesan dialaminya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 8:04 AM