KANE meraikan jaringan ketika menentang Leeds United.
KANE meraikan jaringan ketika menentang Leeds United.
Agensi

London: Harry Kane memberi bayangan dia mungkin kekal di Tottenham walaupun spekulasi hangat mengaitkannya dengan perpindahan ke Manchester United.

Penyerang Spurs berusia 29 tahun itu meledak dua gol pada perlawanan terakhir musim ini di Leeds sekali gus mengumpul 30 jaringan untuk kempen Liga Perdana 2022-23 dan 213 gol keseluruhan dalam misi memburu rekod Alan Shearer.

Namun destinasi Kane beraksi musim depan masih menjadi tanda tanya dengan United dan Real Madrid menunjukkan minat mendalam terutama ketika kontraknya memasuki tahun akhir di Tottenham.

Ditanya mengenai spekulasi mengaitkan bintang England itu ke Old Trafford, Kane menegaskan tiada yang berubah ketika ini dan dia berhasrat kekal dengan kelab zaman remajanya itu.

Katanya kepada BT Sport: "Tidak, tidak. Ia sebahagian daripada kehidupan pemain bola sepak terutamanya ketika anda berada di kemuncak prestasi.

"Saya fokus cabaran musim ini dan cuba membantu pasukan sebaik mungkin. Jaring dua gol pada hari terakhir sangat bagus tetapi kini saya tak sabar mendapat rehat berkualiti dan kemudiannya beberapa perlawanan bersama England.

"Ia musim mengecewakan. Kami tak boleh membiarkannya ia berlarutan, banyak perkara perlu dilakukan. Kelab seperti Spurs tidak sepatutnya berada di tangga kelapan dan kami perlu nikmati cuti rehat serta melihat apa yang boleh diperbaiki."

Kane akan mengetuai cabaran Three Lions dalam aksi kelayakan Euro 2024 menentang Malta dan Macedonia Utara bulan depan.

Tetapi topik panas mengenai masa depannya akan terus diperkatakan sehingga keputusan dibuat.

Spurs yang gagal beraksi dalam saingan Eropah musim depan selepas menduduki tempat kelapan perlu membuat keputusan sama ada mahu mengekalkan Kane atau berdepan risiko kehilangannya dengan percuma atau menjualnya pada musim panas ini.

United pula terdesak mencari pemain berjersi nombor 9 yang baharu untuk mengetuai cabaran skuad Erik ten Hag di Liga Juara-Juara dan membantu mereka memburu kejayaan domestik.

Manakala Real Madrid mahu mendapatkan Kane yang kemarau trofi itu sebagai pengganti sesuai kepada Karim Benzema.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 10:36 PM