Zulfaizan Mansor


Phnom Penh: Skuad bawah 22 (B-22) tahun negara diyakini mempunyai keupayaan untuk mengalahkan pasukan pilihan, Thailand dalam saingan Sukan Sea Kemboja 2023 di Stadium Prince, di sini, esok.

Perkara itu diakui Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang menganggap anak buah E Elavarasan juga mampu untuk mengalahkan juara bertahan, Vietnam yang turut berada dalam Kumpulan B.

Hamidin bagaimanapun menegaskan, untuk mengatasi dua jaguh Asia Tenggara itu barisan skuad 'Harimau Muda' harus bebas daripada sebarang masalah dan memberi fokus sepenuhnya untuk tampil dengan aksi terbaik.

"Kalau tanya saya secara peribadi, pasukan ini boleh kalahkan Thailand dan Vietnam. Bukan kita nak jumpa Korea atau Jepun, memang boleh (atasi Thailand dan Vietnam).

"Tetapi seperti saya katakan kepada pasukan, selain kita melihat kelemahan taktikal pasukan lawan, pentingnya pemain kita bersedia tanpa ada masalah dan mereka fokus 100 peratus untuk bertemu Thailand dan Vietnam.

"Kalau perkara itu kita ada, peluang untuk menang adalah cerah. Jadi, maksudnya pasukan kita kena 100 peratus dalam 'mood' bersedia untuk memenangi perlawanan dengan Thailand," katanya.

Malaysia memburu kemenangan kedua selepas membuka aksi mereka di Sukan Sea kali ini dengan membelasah Laos 5-1, kelmarin dan peluang untuk mara ke separuh akhir pasti lebih cerah seandainya dapat menewaskan Thailand.

Thailand yang juga pasukan terbanyak memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan Sea iaitu sebanyak 16 kali turut mengumpul tiga mata selepas menewaskan Singapura 3-1, Ahad lalu.

Selepas Thailand, anak buah Elavarasan akan berdepan Vietnam yang kini mendahului carta Kumpulan B dengan mengumpul enam mata.

Ketika ditanya adakah ada ganjaran buat pemain negara sekiranya mereka berjaya membawa pulang pingat emas selepas 12 tahun, Hamidin berkata: "Biarlah rahsia. Saya tak nak komen, itu antara saya dengan pasukan."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 12:36 PM