SKUAD bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara bersiap untuk berlepas ke Kemboja bagi menghadapi Sukan Sea Kemboja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. FOTO Bernama
SKUAD bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara bersiap untuk berlepas ke Kemboja bagi menghadapi Sukan Sea Kemboja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Sepang: Skuad bola sepak Bawah 22 tahun (B-22) dijangka akan berdepan cuaca yang panas apabila beraksi di temasya Sukan Sea Kemboja 2023.

Dijangkakan suhu di Phnom Penh ketika ini mampu mencecah sehingga 39 hingga 40 darjah celcius sekali gus dijangka mampu memberi masalah buat pemain negara untuk beraksi dengan baik.

Bagaimanapun pengendali skuad B-22 negara, E Elavarasan percaya anak buahnya tidak berdepan masalah dengan cuaca panas melampau itu dan yakin mereka mampu untuk menyesuaikan diri dengan cepat menjelang aksi pertama di Stadium Visakha menentang Laos, esok.

"Kita ada satu lagi persiapan untuk esok (malam ini) dan apa pun persediaan dekat sana (Kemboja), kena biasakan dengan cuaca. Itu antara perkara yang kita akan buat.

"(Suhu) lebih kurang Malaysia dan saya rasa dalam tempoh tiga hari menjalani latihan di sini, kita sudah biasakan pemain kita dengan cuaca yang panas itu," kata Elavarasan ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Mengulas lanjut aksi sulung menentang Laos, Elavarasan menegaskan aksi pertama sentiasa menjanjikan cabaran yang sukar apatah lagi mereka harus berdepan Laos yang sudahpun tewas aksi pembukaan mereka di tangan Vietnam.

"Ia perlawanan yang sukar tetapi kalau boleh kita nak menang. Kita kena pastikan boleh dapatkan tiga mata dan Laos juga pasti mahukan keputusan yang positif juga.

"Peluang terbuka kepada semua pasukan walaupun ada Thailand dan Vietnam dalam kumpulan ini. Semua yang bertanding berada pada tahap usia yang sama, jadi semua mampu memberi cabaran," katanya.

Selepas berdepan Laos, Harimau Muda akan menentang pemenang 16 pingat emas Sukan Sea, Thailand, Ahad ini sebelum berdepan juara bertahan, Vietnam (8 Mei) dan aksi terakhir menentang Singapura (11 Mei).

Untuk rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini meletakkan sasaran ke final Sukan Sea kepada anak buah Elavarasan dan kali terakhir skuad negara memenangi pingat emas acara bola sepak adalah pada 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 1:48 PM