HAMIDIN berkata Elavarasan perlu memastikan pemain berada dalam keadaan bersedia dalam segala segi. FOTO Ihsan Persatuan Penulis-Penulis Sukan
HAMIDIN berkata Elavarasan perlu memastikan pemain berada dalam keadaan bersedia dalam segala segi. FOTO Ihsan Persatuan Penulis-Penulis Sukan
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tiada yang mustahil buat skuad Bawah 22 tahun (B-22) membawa pulang 'ibu pingat' kerana peluang tetap terbuka buat semua pasukan.

Itu keyakinan yang diluahkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin untuk skuad bimbingan E Elavarasan mengulangi pencapaian yang kali terakhir diraih ketika temasya Sukan Sea Palembang-Jakarta 2011.

Berdasarkan prestasi tahun lalu di Hanoi apabila skuad negara tewas di waktu kecederaan dengan pasukan tuan rumah, kali ini Hamidin melihat peluang skuad negara dilihat sama rata biarpun diletakkan dalam kumpulan maut.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand dan Vietnam yang dianggap pencabar utama bagi memenuhi sasaran memasuki pentas final di Phnom Penh.

"Pemain kena faham dan tak mustahil untuk pasukan ini pergi jauh walaupun dikatakan pasukan Malaysia berada dalam kumpulan maut, tapi elok mereka bertemu awal dengan Thailand dan Vietnam.

"Perkara penting sekarang ini ada pemain serta pegawai perlu memastikan pasukan dan pemain di tahap terbaik tanpa ada masalah.

"Kalau pemain bersedia dari semua aspek, kecergasan, fikiran mereka dan komitmen, saya rasa kita boleh mengulangi pencapaian 2011," kata Hamidin ketika ditemui media pada majlis rumah terbuka Aidilftiri Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM), hari ini.

Justeru Hamidin berkata Elavarasan perlu memastikan pemain berada dalam keadaan bersedia dalam segala segi.

Untuk rekod kali terakhir Malaysia meraih emas adalah dua belas tahun lalu di Jakarta selepas menewaskan tuan rumah 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat dengan keputusan 1-1.

Sementara itu Hamidin memaklumkan bahawa pasukan negara akan bertolak esok ke Kemboja.

"Ketua jurulatih buat persiapan di sini kerana kekhuatiran di sana berhubung kekurangan gelanggang latihan.

"Jadi elok bertolak esok dan mereka akan terus bersedia untuk perlawanan pertama menentang Laos pada 3 hari bulan di mana kita fikir pasukan muda mereka bertambah kuat daripada kategori 17, 19 dan 20 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 7:25 PM