PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO FB FAM
PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Ramai kata kumpulan maut, sebenarnya tidak."

Itu kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang melihat undian skuad Bawah 22 (B-22) tahun negara di Sukan Sea Kemboja, bulan depan bukanlah kumpulan maut.

Katanya, beliau pernah berdepan situasi sama ketika menjadi pengurus pasukan ke Sukan Sea di Indonesia pada 2011 lalu apabila skuad negara diletakkan dalam kumpulan sukar.

Namun, katanya, pasukan itu berjaya melepasi halangan peringkat kumpulan sebelum mara ke separuh akhir dan memenangi pingat emas di Indonesia, 12 tahun lalu.

"Ramai kata kumpulan maut, sebenarnya tidak. Saya sudah bermesyuarat dengan ketua jurulatih, E Elavarasan dan ini undian terbaik.

"Biar kita bertemu pasukan yang kuat dan akan mara cepat ke separuh akhir dan final.

"Saya tanamkan kepada pemain dan Elavarasan, jika jumpa awal Thailand dan Vietnam lagi senang untuk kita buat, kalau ikut taktikal.

"Ini terjadi semasa Datuk Ong Kim Swee jadi jurulatih pada 2011 apabila ketika itu dipanggil kumpulan maut berikutan Malaysia, Thailand dan Indonesia satu kumpulan," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa di Wisma FAM, Jumaat lalu.

Dalam undian di Phnom Penh, Kemboja Rabu lalu, skuad B-22 negara diletakkan dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Vietnam; juara terbanyak Sukan Sea iaitu Thailand; Singapura dan Laos.

Manakala Kemboja selaku tuan rumah berada di Kumpulan A dengan Indonesia, Myanmar, Filipina dan Timor Leste.

Hamidin berkata, sasaran layak ke final tetap sama dan tidak akan berubah kerana beliau yakin Malaysia mampu mencipta sesuatu.

"Saya rasa adalah lebih baik kumpulan ini. Tetapi untuk kejohanan ini, beberapa aspek terutama tumpuan, kecederaan dan komitmen pemain menjadi perkara penting," katanya.

Acara bola sepak lelaki pada temasya di Phnom Penh itu akan membuka tirai lebih awal iaitu dari 29 April hingga 16 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 7:03 PM