SESI latihan skuad Harimau Muda. FOTO Mohamad Shahrul Badri Saali
SESI latihan skuad Harimau Muda. FOTO Mohamad Shahrul Badri Saali
Oleh Zulfaizan Mansor


Phnom Penh: Maruah menjadi taruhan skuad bawah 22 (B-22) tahun negara apabila turun menentang Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan B acara bola sepak Sukan SEA Kemboja 2023 di Stadium Prince, esok.

Justeru, anak buah E Elavarasan harus memastikan pertembungan 'tetangga seberang tambak' itu menjadi milik mereka meskipun sudah tersingkir daripada persaingan merebut pingat susulan kekalahan 1-2 kepada Vietnam, kelmarin.

Melihat kepada prestasi kedua-dua pasukan dalam tiga perlawanan, 'Harimau Muda' seakan tiada masalah untuk menjinakkan skuad Singa yang masih belum meraih sebarang kemenangan dan hanya mengutip satu mata hasil keputusan seri 1-1 berdepan Laos.

Berbeza dengan Malaysia yang dilihat beraksi lebih baik apabila membuka kempen dengan kemenangan besar 5-1 ke atas Laos sebelum menjadi mangsa dua pasukan pilihan Thailand dan Vietnam, sekali gus terpaksa 'bungkus' awal dari kejohanan.

Namun, Elavarasan pasti sedar pasukannya tidak akan berdepan tugas mudah untuk memulihkan maruah skuad negara kerana Singapura juga mempunyai misi sama untuk menutup buku acara bola sepak di Sukan SEA kali ini dengan keputusan lebih baik.

Malah, pengendali berusia 61 tahun itu juga perlu melakukan beberapa perubahan susulan dua pemain, Muhammad Safwan Mazlan dan Najmudin Akmal Kamal Akmal terpaksa diketepikan akibat menerima kad merah ketika berdepan Vietnam.

"Kita perlu memberikan tumpuan penuh pada aksi terakhir menentang Singapura walaupun pasukan sudah pun tersingkir. Kita kehilangan beberapa pemain penting tetapi saya harap pasukan dapat tamatkan cabaran dengan lebih baik," kata Elavarasan.

Skuad negara berada di kedudukan ketiga kumpulan selepas mengumpul tiga mata, manakala Singapura di tangga keempat dengan satu mata.

Pertembungan Vietnam dan Thailand yang turut akan berlangsung esok menjadi aksi penentuan siapa yang bakal muncul juara Kumpulan B selepas mereka terikat sembilan mata ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 1:11 PM