MUKHAIRI (kanan) berpotensi diserapkan ke dalam skuad kendalian  Elavarasan.
MUKHAIRI (kanan) berpotensi diserapkan ke dalam skuad kendalian Elavarasan.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Lebih ramai pemain utama yang beraksi dalam Liga Super dan Liga Perdana bakal dipanggil bagi memperkuatkan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara menjelang temasya Sukan Sea di Kemboja dari 5-17 Mei ini.

Berdasarkan jadual awal Liga Super, kem negara dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk menghimpunkan skuad terbaik di mana liga akan berhenti rehat selepas aksi ke-10 pada 26 April depan bagi memberi laluan ke saingan sukan terbesar serantau itu.

Malah, pengendali pasukan E Elavarasan mengakui akan memanggil pemain-pemain utama pada kem latihan terakhir sebelum ke Kemboja itu nanti.

Antara pemain yang dilihat berpotensi diserapkan antaranya dua tonggak Selangor FC iaitu Mukhairi Ajmal dan V Ruventhiran, penyerang Kuala Lumpur City FC, Haqimi Azim dan lain-lain.

Ujar Elavarasan lagi, kem latihan yang sedang berlangsung di Wisma FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) ketika ini adalah muka-muka baharu yang diberi peluang sebelum ditapis untuk dipanggil semula bersama pemain utama nanti.

"Sebab kita ada ramai pemain yang mewakili Liga Super macam Mukhairi Ajmal, Ruventhiran dan ada yang mewakili pasukan Liga Perdana.

"Sekurang-kurangnya buat masa ini kita dapat tahu apa perbezaan pemain sedia ada dengan pemain baharu kita," katanya sekali gus kemungkinan tidak berdepan untuk membariskan skuad terbaik ke Sukan Sea bagi memburu kilauan pingat nanti.

Untuk rekod, kali terakhir skuad bola sepak negara memenangi pingat emas adalah pada temasya 2011 di Jakarta, Indonesia yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee pada waktu itu.

Selepas itu, pasukan negara gagal mengulanginya semula di mana skuad B-23 sering beraksi di saingan Sukan Sea khususnya dua edisi lalu tanpa kelibat pemain-pemain utama.

Antaranya pada Sukan Sea 2019 di Filipina, Malaysia tidak dapat menyenaraikan Safawi Rasid yang ketika itu sedang berada di kemuncak prestasi selain Arif Aiman Hanapi pada saingan di Vietnam tahun lalu.

Terdahulu, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui pasukan B-23 tahun negara akan dibarisi skuad terbaik di Kemboja dalam misi menghadiahkan 'ibu segala pingat' buat kontinjen Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 8:20 PM