ARIF Aiman pamer aksi cemerlang sepanjang Februari dan Mac. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ARIF Aiman pamer aksi cemerlang sepanjang Februari dan Mac. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BERNAMA

Kuala Lumpur: Prestasi cemerlang pada awal musim membolehkan pemain sayap sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT,) Arif Aiman Mohd Hanapi merangkul Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) edisi Februari-Mac 2023.

Arif Aiman menerima anugerah itu yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail dalam satu majlis ringkas sebelum sepak mula aksi Liga Super antara PDRM dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi, demikian menurut kenyataan PFAM hari ini.

Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 dan 2022 berusia 21 tahun itu yang telah menjaringkan lima gol dalam sembilan perlawanan Liga Super musim ini turut menerima hadiah plak, wang tunai berjumlah RM2,000 dan produk minuman protein.

Beliau menewaskan empat calon lain iaitu pemain import Sabah Park Tae Su, rakan sepasukannya di JDT Fernando Forestieri, Mohamad Faisal Abdul Halim (Selangor) dan penjaga gol PDRM Ramadhan Hamid dalam proses undian yang dijalankan.

Ia adalah gelaran kedua yang diraih Arif Aiman selepas edisi Mac 2021.

Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM kelolaan PFAM sebagai usaha mengiktiraf para pemain profesional di negara.

Proses pemilihan pemain dibuat oleh barisan panel terdiri daripada pengamal media yang memilih dan menyenarai pendek lima calon setiap bulan sebelum undian dibuka kepada peminat melalui www.pfam.my selama seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 5:01 PM