PAN Gon memuji aksi Arif yang banyak menggerakkan jentera serangan JDT dari bahagian tepi. FOTO ASYRAF HAMZAH
PAN Gon memuji aksi Arif yang banyak menggerakkan jentera serangan JDT dari bahagian tepi. FOTO ASYRAF HAMZAH
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Aksi lincah bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi nyata memikat perhatian pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon ketika hadir menyaksikan aksi sumbangsih antara JDT dan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu lalu.

Menerusi satu perkongsian di laman story Instagram milik jurulatih dari Korea Selatan itu, beliau tampak memuji aksi Arif yang banyak menggerakkan jentera serangan JDT dari bahagian tepi.

Begitupun, perkongsian itu kemudiannya dibuang olehnya namun segelintir pengguna laman sosial sempat menangkap layar kenyataan Pan Gon itu.

"Dia seorang pemain berbakat," tulis bekas jurulatih Hong Kong itu dalam bahasa Korea.

Dalam aksi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah itu, skuad Harimau Selatan berjaya menjinakkan KL City 3-0 dengan Arif muncul watak penting mencipta gerakan pasukan tuan rumah.

Selain itu, turut tular sekeping gambar yang menyaksikan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya sedang sibuk menganalisis aksi antara JDT dan KL City itu.

Lantas susulan itu, ramai peminat yang memuji tindakan pantas Pan Gon memulakan kerjanya seawal aksi pembukaan Liga M itu tanpa menunggu lama untuk mengenal pasti pemain tempatan sebelum dipanggil pada pertengahan bulan ini.

Skuad negara bakal dikumpulkan bagi menghadapi dua aksi persahabatan menentang Filipina dan Singapura pada hujung bulan ini yang dijadual berlangsung di Singapura.

Ia sekali gus tugasan pertama Pan-gon bersama Harimau Malaya selepas dilantik menggantikan Tan Cheng Hoe yang meletakkan jawatan pada Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 10:27 PM