AKSI lincah Arif (kanan) yang berjaya menjaringkan gol pertama JDT semalam. FOTO Owee Ah Chun
AKSI lincah Arif (kanan) yang berjaya menjaringkan gol pertama JDT semalam. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


Shah Alam: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) Benjamin Mora melihat kelincahan ubi mudanya, Arif Aiman Mohd Hanafi adalah revolusi pasukan dalam membariskan pemain berkebolehan pada masa akan datang.

Beliau berkata, kemampuan yang ditunjukkan pemain berusia 18 tahun itu sekali gus menunjukkan JDT mempunyai kekuatan seimbang di semua peringkat sekali gus tidak akan gusar jika beberapa tonggak mereka dihimpit kecederaan.

"Kami sering bercakap dengan Arif dan banyak membantunya dapatkan keyakinan. Dia ada kemahiran, bakat dan masa depan. Dia tahu apa yang perlu buat dan ini sesuatu yang bagus untuk kami.

"Bakat yang dipamerkan oleh Arif adalah revolusi kepada pasukan di mana dia memahami apa yang perlu dilakukan apabila diturunkan malah larian lajunya mampu kucar kacirkan benteng lawan," katanya.

Sementara itu, jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap kerapuhan barisan pertahanan hingga bolos empat gol menentang JDT.

"Saya boleh katakan persembahan barisan pertahanan agak buruk. Walaupun sudah diingatkan pada sesi latihan namun masih lagi membuat kesalahan sama sehingga mudah dibolosi empat gol," katanya.

Perlawanan di Stadium UiTM Shah Alam semalam menyaksikan juara tujuh kali Liga Super itu jelas sekali sukar digugat apabila mencatatkan kemenangan 'hatrik' dengan menewaskan UiTM FC 4-0.

Gol terbabit disumbangkan Arif, Gonzalo Cabrera, Bergson dan Symer Kutty Abba sekali gus mengukuhkan kedudukan kedudukan JDT di persada liga dengan sembilan mata.

Selain itu, pengendali Kuala Lumpur City FC Bojan Hodak berpuas hati dengan prestasi anak buahnya walaupun gagal membawa pulang tiga mata ketika berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menentang Selangor FC semalam.

"Saya berpuas hati dengan prestasi pemain kerana mereka berjaya mengekang sebarang asakan lawan walaupun Selangor FC dilihat lebih menguasai bola sepanjang tempoh perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 6:08 PM