ABDUL Ghani (kiri) ketika sidang media isu tunggakan gaji pada Februari 2021. FOTO Faiz Anuar
ABDUL Ghani (kiri) ketika sidang media isu tunggakan gaji pada Februari 2021. FOTO Faiz Anuar
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Buat pemain di luar yang mungkin berdepan isu sama, jangan putus asa. Teruskan tuntut hak sampai dapat."

Itu nasihat bekas ketua pasukan Kuantan FA, Abdul Ghani Abd Rahman buat pemain-pemain yang sedang berdepan isu tunggakan gaji agar tabah dan tidak mudah berputus asa.

Ghani yang turut berdepan 'detik hitam' bersama 46 lagi bekas pemain dan pegawai Kuantan FA dan Marcerra United berjaya menyelesaikan isu tunggakan gaji sejumlah RM6 juta yang tertangguh selama empat tahun.

Jelas Ghani, dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu hingga berjaya menuntut hak mereka di Mahkamah.

"Sejujurnya saya dan pemain lain tak sangka dapat selesaikan kes ini, sebab kami tahu bukan mudah nak selesaikan.

"Rasanya ini adalah kes pertama babitkan pemain bola sepak di Malaysia yang di bawa ke Mahkamah dan berjaya diselesaikan. Saya mewakili pemain-pemain lain ucapkan terima kasih kepada peguam bela kami yang berjaya kerana sebenarnya tak semua peguam boleh bawa kes ini.

"Begitu juga pihak media yang sentiasa beri sokongan kepada kami. Saya anggap penderitaan dan penantian kami selama empat tahun ini selesai, dan kami mahu gunakan hak kami ini untuk bina hidup baharu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menerusi laporan akhbar ini semalam, perjuangan 47 anggota skuad Kuantan FA dan Marcerra United berakhir dengan kegembiraan apabila kes itu dapat diselesaikan.

Kes yang diheret ke mahkamah hingga ke peringkat prosiding komital itu, menyaksikan seorang Datuk Seri yang juga pemilik dua kelab terbabit tampil menyelesaikan hutang berkenaan, dengan Datuk Seri itu berpotensi dipenjarakan jika gagal melunaskannya.

Menurut Peguam bela, Suhail Rahimi, Datuk Seri itu sudah menjelaskan bayaran empat bulan berjumlah hampir RM2 juta, manakala selebihnya akan diselesaikan secara berperingkat.

Ujar Ghani lagi, duit berkenaan akan digunakan sebaiknya bagi meneruskan kehidupan.

"Mungkin dengan duit itu ada rakan-rakan yang nak selesaikan hutang-hutang yang ada, guna untuk perbelanjaan buka sekolah bulan tiga nanti atau untuk persiapan Hari Raya (hujung April ini).

"Macam saya, selepas tak main bola saya buat perniagaan bersama rakan kongsi. Jadi bolehlah guna ini untuk tambah baik perniagaan saya sekarang ini," katanya.

Ditanya nasihat kepada pemain yang mungkin berdepan situasi sama seperti tonggak Melaka United dan Sarawak United, Ghani harap mereka tidak berputus asa.

"Kami dah buktikan sebenarnya kita boleh dapat hak kita. Apa yang penting, simpan bukti kontrak dan cari peguam yang terbaik. Bukti kontrak itu penting, dan InsyaAllah dengan izin tuhan boleh selesai," katanya.

Ketika ini, hangat tentang kegagalan pengurusan Melaka United dan Sarawak United menjelaskan tunggakan hutang pemain sejak musim lalu yang berjumlah RM2.3 juta dan lebih RM400,000 yang didedahkan oleh Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 5:08 PM