MOHAMAD Suhail (dua dari kanan) bersama bekas pemain Kuantan FA, Abdul Ghani Abd Rahman (kiri) serta bekas pemain Marcerra United FC, Izer Hamkha Mohd Haizal (kanan) pada sidang media isu tunggakan gaji sejak tahun 2018 di Shah Alam pada Februari lalu. FOTO Faiz Anuar
MOHAMAD Suhail (dua dari kanan) bersama bekas pemain Kuantan FA, Abdul Ghani Abd Rahman (kiri) serta bekas pemain Marcerra United FC, Izer Hamkha Mohd Haizal (kanan) pada sidang media isu tunggakan gaji sejak tahun 2018 di Shah Alam pada Februari lalu. FOTO Faiz Anuar
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas menempuh derita hampir tiga tahun akhirnya pemain Kuantan FA dan Marcerra United mampu mengukir senyum apabila tuntutan tunggakan gaji menunjukkan tanda positif dan dijangka boleh diselesaikan di luar mahkamah.

Jelas bekas jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria, berdasarkan perkembangan mengenai tuntutan itu, beliau mengesahkan sudah ada perbincangan bersama peguamnya dengan peguam pemilik kelab terbabit, Datuk Seri Dr Mohamad Feardaus Khairuddin untuk menyelesaikan tunggakan itu.

Katanya, beliau berharap ia dapat diselesaikan selepas isu tergantung sejak 2018 lalu dengan ramai pemain yang terkesan berikutan ketiadaan gaji.

"Ceritanya pihak Datuk Feardaus dah ada jumpa antara peguam untuk berbincang dengan kita. Harap-harap ada jalan penyelesaian tapi apa yang saya nampak mereka serius nak bayar tunggakan itu.

"Kalau sebelum ini mereka senyap dan lari buat tak tahu dengan kami, tapi sejak kami nak ambil tindakan undang-undang nampak ia ke arah positif.

"Bila kami akan dapat duit itu belum tahu lagi, cuma saya boleh nyatakan kita dah berbincang dan sekarang tengah tunggu peringkat seterusnya. Tapi kalau tiba-tiba tak jadi, tak mengapa kita selesaikan di mahkamah sajalah," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, pada Februari lalu, barisan bekas pemain dan pegawai kedua-dua kelab terbabit melantik peguam untuk mengheret isu tunggakan gaji yang tertangguh sejak 2018.

Difahamkan, Marcerra United berhutang sebanyak RM313,606 membabitkan 21 pemain dan lima pegawai serta Kuantan FA dengan nilai sejumlah RM590,125 yang dituntut 26 pemain dan tujuh pegawai pasukan.

Sementara itu, peguam yang mewakili bekas pemain dan pegawai pasukan, Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak mengakui perbincangan kini memasuki fasa terakhir.

"Kita dah beberapa kali berbincang dengan peguam mereka dan Alhamdulillah semuanya berjalan baik. Sekarang tinggal untuk pengesahan nilai-nilai tunggakan yang perlu dibayar kepada setiap pemain.

"Bila akan dapat duit itu saya tak boleh nyatakan tetapi apa yang pasti mereka benar-benar serius untuk selesaikan," kata Suhail.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 6:43 PM