DYCHE berdepan ujian pertama yang sukar. FOTO Reuters
DYCHE berdepan ujian pertama yang sukar. FOTO Reuters
AFP

Manchester: Pengurus baru Everton, Sean Dyche bersedia untuk berdepan dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal esok.

Arsenal berada di landasan terbaik untuk merebut kejuaraan liga kali pertama sejak 2003/04 dengan kelebihan lima mata di hadapan Manchester City dan satu perlawanan dalam tangan.

The Gunners akan berharap pembelian pemain di jendela perpindahan Januari cukup untuk membantu mereka walaupun terlepas dua sasaran utama Mykhailo Mudryk dan Moises Caicedo dari Brighton.

Ketibaan Jorginho dari Chelsea minggu ini menambah kekuatan dan membimbing skuad muda Mikel Arteta manakala Leandro Trossard meningkatkan pilihannya di bahagian serangan.

Everton adalah satu-satunya kelab EPL yang tidak membuat pembelian Januari dan bekas bos Burnley, Dyche tahu beliau mempunyai gunung yang perlu didaki.

Selepas 69 tahun The Toffees berada di liga utama mereka berisiko untuk tersingkir dan bantahan daripada penyokong terhadap lembaga kelab itu dirancang selepas perlawanan.

"Ada cabaran besar di hadapan tetapi saya bersedia dan mahu menempuhinya," kata Dyche kepada Everton TV.

"Kami mahu mengubah bentuk kelab ini ke hadapan, mengubah suai mengikut gaya kami, tetapi mengubah suai dengan cara yang kami boleh menang."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 2:14 PM