ARIF Aiman membuat satu larian sebelum melepaskan rembatan yang mengelirukan lawan. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
ARIF Aiman membuat satu larian sebelum melepaskan rembatan yang mengelirukan lawan. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur Johor Darul Ta'zim (JDT) terus menghantar amaran buat pesaing dalam Liga Malaysia (Liga M) apabila mencatat kemenangan ketiga dalam aksi pramusim di Dubai apabila kali ini menumbangkan kelab Russia, Lokomotiv Moscow 1-0, malam tadi.

Ia adalah kemenangan ketiga dalam empat aksi selepas turut menumbangkan kelab UAE, Fursan Hispania 3-0 dan menang 1-0 ke atas kelab Bulgaria, FC Levski Sofia yang ditamatkan aksi lebih awal susulan isu pergaduhan di awal babak kedua.

Namun di sebalik kemenangan ketiga itu, sebenarnya perkara mencuri tumpuan adalah bagaimana gol tunggal ledakan Arif Aiman Hanapi itu dijaringkan.

Berdasarkan video jaringan itu, Arif berjaya mengatasi dua pemain pertahanan Lokomotiv Moscow sebelum dia melepaskan rembatan leret buat menewaskan penjaga gol lawan.

Apa yang mencuri perhatian apabila jaringannya menyebabkan jaring 'terkoyak' pada perlawanan itu.

BOLA jaringan Arif Aiman menyebabkan jaring ‘terkoyak’ pada aksi pramusim menentang Lokomotiv Moscow yang menyaksikan JDT menang 1-0 di Dubai, malam tadi.
BOLA jaringan Arif Aiman menyebabkan jaring ‘terkoyak’ pada aksi pramusim menentang Lokomotiv Moscow yang menyaksikan JDT menang 1-0 di Dubai, malam tadi.

Bola yang ditendang Arif masuk ke dalam gawang namun bola itu keluar daripada jaring sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana bola rembatan Arif boleh keluar.

Menerusi ulang tayang, rupanya jaring yang digunakan berlubang dan disebabkan itu percubaan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia dua tahun berturut-turut itu keluar daripada gawang.

Selepas ini, skuad kendalian Estaban Solari akan melengkapkan aksi pramusim dengan menentang juara Liga Russia, FC Zenit St Petersburg pada Isnin depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 10:42 AM