AKSI Arif Aiman ketika bertemu Lokomotiv Moscow. FOTO Johor Southern Tigers
AKSI Arif Aiman ketika bertemu Lokomotiv Moscow. FOTO Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Kalau tanya saya, Arif Aiman Hanapi memang ada potensi besar di luar negara sebab dia konsisten dan saya sendiri minat cara permainannya."

Demikian pandangan ejen berpengalaman, Effendi Jagan Abdullah yang mengakui tonggak utama Johor Darul Ta'zim (JDT) itu memiliki potensi besar untuk berkembang sebagai pemain bola sepak tersohor.

Jelas Effendi yang juga Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd berkata, pemain sayap itu ada bakat yang luar biasa, malah dengan usianya yang masih muda iaitu 20 tahun meletakkan Arif Aiman pada kelasnya tersendiri.

Begitupun Effendi menegaskan untuk Arif Aiman mendapatkan tempat bersama kelab terbaik di Eropah bukan mudah, kerana ia mestilah datang daripada minat yang mendalam dari kelab terbabit untuk membawanya.

"Bukan senang nak main kat Eropah, lebih lagi kalau kelab yang bagus. Biasanya mereka (kelab Eropah) akan 'follow' pemain-pemain yang mereka nak, di mana pencari bakat kelab itu akan ikut pemain yang diinginkan.

"Bukan dengan cara bawa sendiri pemain ke kelab atau letakkan pemain di Eropah untuk beberapa tempoh sebelum pulang. Cara itu tak praktikal, tapi kalau kelab betul-betul nakkan mereka akan usaha bawa.

"Apapun JDT adalah kelab Arif Aiman sekarang, ia perlu melalui proses yang betul. Lagipun, Arif Aiman adalah pemain utama JDT dan saya lihat perkembangannya di JDT pun cukup cemerlang dan baik," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, bekas pemain skuad Harimau Malaya, Datuk Jamal Nasir mengakui kagum dengan kemampuan Arif Aiman 'mengayam-ayamkan' pertahanan Lokomotiv Moscow dengan dia berjaya meledak kemenangan 1-0 dalam aksi pramusim di Dubai ketika ini.

Malah sebenarnya, itu bukanlah gol pertamanya menentang kelab terbaik Eropah apabila dia juga pernah meledak gol ketika menentang Borussia Dortmund di Stadium Sultan Ibrahim November lalu, di mana dia berjaya melepasi pertahanan kental lawan yang diakui cukup agresif dan berfizikal besar.

Menurut Jamal, Arif mempunyai keistimewaan yang tidak ada pada pemain tempatan lain, di mana aset utama tonggak kelahiran Pahang itu adalah kepintaran, kepantasan dan kawalan bolanya yang luar biasa.

Justeru, beliau beranggapan sudah tiba masanya Arif Aiman dilepaskan beraksi di Eropah bagi mengembangkan lagi potensi yang ada pada dirinya itu.

Tambah Effendi lagi, aksi persahabatan dan perlawanan sebenar adalah berbeza namun beliau akui Arif Aiman seorang pemain yang cukup konsisten ketika beraksi.

"Dia pemain konsisten. Kadang-kadang pemain ada 'up' dan 'down', tapi Arif Aiman tidak. Dia sentiasa beri permainan konsisten dan itu memikat perhatian saya dan mungkin orang lain juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 4:34 PM