AKSI perlawanan JDT menentang Zenit St Petersburg. FOTO Ihsan JST
AKSI perlawanan JDT menentang Zenit St Petersburg. FOTO Ihsan JST
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kehebatan skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) bukan 'kaleng-kaleng' apabila mendapat perhatian penyerang penyerang Zenit St Petersburg, Claudinho.

Biarpun JDT tewas kepada Zenit 3-0 pada perlawanan persahabatan baru-baru ini selain dikatakan bagai pertemuan 'langit dan bumi' namun Claudinho mengaku juara sembilan kali Liga Super adalah sebuah pasukan yang sangat baik.

Claudinho bagaimanapun tidak menganggap kekalahan itu mencerminkan kualiti sebenar skuad bimbingan Esteban Solari itu memandangkan mereka memiliki barisan pemain yang berkualiti.

"Kemenangan ini lebih manis kerana ini kali pertama Zenit St Petersburg menentang pasukan daripada Malaysia. Tetapi saya melihat mereka adalah pasukan yang bagus dan bersedia untuk berjuang.

"Saya juga sempat berbual dengan beberapa pemain dari Brazil yang mewakili pasukan itu. Mereka berada pada tahap yang terbaik dan memiliki beberapa pemain yang berkualiti.

"Perlawanan ini sangat menghiburkan," katanya menerusi laman sesawang pasukan itu.

Berdasarkan semakan di Internet, Zenit St Petersburg yang turut beraksi dalam Liga Juara Juara Eropah itu menghuni kedudukan ke-58 dunia sementara JDT pula berada pada ranking ke-1450 dunia.

Sebagai rekod, JDT mengharungi lima perlawanan pramusim di Dubai di mana mereka membuka kempen dengan tewas 0-2 kepada FC Rostov.

Mereka kemudiannya bangkit merakam dua kemenangan berturut turut apabila menewaskan Fursan Hispania 3-0 dan 1-0 menentang Lokomotiv Moscow.

Sementara itu, satu lagi aksi persahabatan JDT ketika berdepan Levski Sofia ditamatkan lebih awal susulan pergaduhan pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 12:47 PM