JURGEN Klopp. FOTO AFP
JURGEN Klopp. FOTO AFP
Agensi

London: Jurgen Klopp berkata ia adalah masa untuk lawan menyusahkan Liverpool ketika dia cuba membina semula empayar di Anfield namun berjanji untuk membawa Liverpool menjulang trofi.

Pengurus The Reds itu menyedari tugasnya menuntut dia memberikan keputusan yang positif musim ini dengan mereka akan berjuang selepas hampir melakarkan sejarah musim lalu.

Klopp cemerlang musim lalu apabila meraih kemenangan Piala EFL dan Piala FA Liverpool serta hampir menjulang kejuaraan Liga Perdana pada hari terakhir sebelum tewas pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara kepada Real Madrid.

Namun kempen musim ini juga dilihat sukar dengan peluang untuk memenangi trofi juga tidak begitu jelas selepas Liverpool terkeluar daripada saingan Piala EFL selain perlawanan ulangan menentang Madrid di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Mereka juga menghadapi perlawanan pusingan keempat Piala FA yang sukar di Brighton and Hove Albion esok.

Klopp kini berada dalam kesukaran untuk memperkuatkan jentera serangan selepas pemergian Sadio Mane ke Bayern Munich selain kecederaan yang menghantui Darwin Nunez yang difahamkan mengambil masa menyesuaikan diri dengan Mohamed Salah.

Klopp turut berkata penyerangnya, Salah sedang "menanggung derita" akibat kegagalan trio serangan menemui rentak musim ini.

Penyerang Mesir itu hanya meledak tujuh gol dalam 19 perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas menjaringkan 23 gol pada musim 2021-22.

Dia digandingkan dalam tiga kombinasi berbeza barisan hadapan Liverpool dalam tiga perlawanan terakhirnya.

"Sudah tentu itu tidak bagus. Tetapi itulah sebabnya saya katakan kami tidak boleh mengharapkan untuk kembali ke tahap terbaik kami dan menang 5-0 dan pergi ke perlawanan seterusnya," kata Klopp.

"Kami perlu bekerja keras. Tiada siapa yang mahu mendengarnya, tetapi kami perlu melakukannya. Dalam dua atau tiga minggu, beberapa pilihan lain kembali lagi. Kami akan mempunyai lebih banyak pilihan dan boleh mencampurkannya."

Gandingan Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane sebelum ini menjadi tunjang kepada corak permainan agresif Liverpool yang menjelmakan gelaran Liga Juara-Juara Eropah serta Liga Perdana Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 12:21 PM