MANE (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
MANE (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
AFP

Birmingham: Liverpool masih mengejar Manchester City di puncak Liga Perdana 'seperti orang gila', kata Jurgen Klopp selepas anak buahnya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Aston Villa 2-1, hari ini.

Kedua-dua pasukan kini berkongsi mata di kedudukan teratas tetapi City mempunyai kelebihan perbezaan gol serta kurang satu perlawanan dan akan menentang Wolves awal pagi esok.

Liverpool tidak boleh lagi mencicirkan mata selepas diikat 1-1 di tempat sendiri oleh Tottenham dan bermula buruk hari ini selepas Villa di depan menerusi rembatan Douglas Luiz seawal minit ke-3.

Tetapi Joel Matip dengan pantas menyamakan kedudukan dan tandukan Sadio Mane 25 minit sebelum tamat perlawanan menyaksikan The Reds kekal bersaing untuk merebut empat trofi.

"Kami masih mengejar seperti orang gila. Kami hanya tahu yang kami perlu menang dan itu sama sekali tidak berubah.

"Kini kami perlu melalui proses pemulihan untuk beraksi pada perlawanan final Piala FA," kata Klopp.

Bagaimanapun, Liverpool terpaksa membayar harga tinggi susulan kemenangan itu apabila Fabinho mengalami kecederaan otot yang menyebabkannya tidak pasti dapat diturunkan pada final Piala FA bertemu Chelsea Sabtu ini serta final Liga Juara-Juara menentang Real Madrid, 28 Mei ini.

"Dia berasa sakit di otot. Dia kekal positif tetapi secara jujur saya tidak pasti apa yang boleh saya lakukan untuknya," katanya.

Klopp tidak menurukan pemain seperti Mohamed Salah dan Thiago Alcantara dalam kesebelasan utama selain tiada tempat untuk Andy Robertson di dalam skuad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 6:45 AM