Pemain import TFC, Kipre Tchetche (kiri) dan Manuel Ott  ketika sesi latihan semalam. FOTO TFC
Pemain import TFC, Kipre Tchetche (kiri) dan Manuel Ott ketika sesi latihan semalam. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Siapa pemain import yang bakal menggalas cabaran pasukan utama, Terengganu FC (TFC) dan pasukan 'adik' Terengganu FC II (TFC II) musim ini belum diputuskan lagi barisan kejurulatihan skuad itu.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas menjelaskan pihak pengurusan menyerahkan mandat itu 100 peratus kepada barisan kejurulatihan yang diketuai Nafuzi Zain.

Katanya, mereka akan menentukan lapan pemain import yang sudah menandatangani kontrak bersama TFC Sdn Bhd itu akan beraksi bersama TFC atau TFC II.

"Ketua jurulatih bersama pembantunya akan membuat keputusan sebelum Liga Malaysia (Liga M) bermula berkenaan dengan pasukan yang bakal disertai pemain import itu bersesuaian dengan taktikal dan corak permainan yang diterapkan jurulatih.

"Keputusan itu berdasarkan penilaian ketika sesi latihan dan juga aksi persahabatan pramusim termasuk kejohanan empat penjuru membabit pasukan Penang FC, Sri Pahang, TFC II selain TFC di Kuala Terengganu bermula 5 hingga 11 Februari depan.

"Apa yang penting sebagai pemain profesional, mereka perlu menerima dengan hati yang terbuka keputusan yang bakal diumumkan barisan kejurulatihan kerana misi kita sekurang-kurangnya untuk merangkul satu kejuaraan musim ini.

"Bagaimanapun sebagai pasukan 'feeder Club', pemain yang beraksi bersama pasukan TFC II tidak semestinya tidak boleh 'dinaikkan pangkat' menyarung jersi skuad utama, jika prestasi import pasukan TFC merudum selain dilanda kecederaan, mereka boleh menggantikan pemain berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Musim ini TFC Sdn Bhd mengikat tiga penyerang import termasuk mengekalkan pemain TFC II musim lalu, Jordan Mintah (Ghana) selain dua bekas penyerang kembar Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kpah Sherman (Liberia) dan Kipre Tchetche (Ivory Coast).

Posisi pertahanan pula, TFC Sdn Bhd membawa masuk pemain tinggi lampai kelahiran Senegal, Pape Diakite, pemain kebangsaan Filipina, Luke Woodland dan mengekalkan pemain musim lalu, Argzim Redzovic.

Manakala di jentera tengah, kelab itu menyambung kontrak pemain musim lalu, Habib Haroon (Bahrain) dan pemain kebangsaan Filipina yang juga pemain Melaka United (MU) musim lalu, Manuel Ott.

Tahun lalu TFC gagal mencapai sasaran apabila menamatkan saingan Liga Super di kedudukan keempat dan separuh akhir Piala Malaysia sekali gus gagal beraksi dalam saingan Piala AFC musim ini.

Manakala skuad 'adik' TFC berjaya mencapai sasaran apabila menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan ketiga ketika Piala Cabaran dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 3:13 PM