MUNTARI (dua dari kiri) cub mengambil bola daripada penjaga gol Senegal, Edouard Mendy selepas menjaringkan gol tunggal Qatar. FOTO AFP
MUNTARI (dua dari kiri) cub mengambil bola daripada penjaga gol Senegal, Edouard Mendy selepas menjaringkan gol tunggal Qatar. FOTO AFP
Reuters

Doha: Tuan rumah, Qatar di ambang penyingkiran daripada kempen Piala Dunia selepas tewas 1-3 kepada Senegal di Stadium Al Thumama, malam ini, walaupun Mohammed Muntari menjaringkan gol pertama di pusingan akhir Piala Dunia buat Qatar.

Kemenangan atau seri bagi Belanda yang akan menentang Ecuador, sebentar lagi akan menyaksikan Qatar menjadi pasukan pertama tersingkir selepas Ecuador menewaskan Qatar 2-0 pada perlawanan pembukaan.

Qatar tidak menyerah mudah kepada Senegal dan sepatutnya mendapat sepakan penalti apabila Ismaila Sarr mengasari Akram Afif, tetapi pengadil Sepanyol, Antonio Mateu tidak mengendahkan rayuan mereka manakala video bantuan pengadil (VAR) tidak membantu.

Pada ketika Qatar bertahan dengan baik, Senegal memerlukan detik ajaib atau kesilapan mudah untuk memecah kebuntuan perlawanan dan malang buat pertahanan Qatar, Boualem Khoukhi apabila dia menjadi petualang.

Usahanya mengeluarkan bola hantaran ke dalam kotak penalti gagal apabila dia terjatuh tanpa menyentuh bola.

Boulaye Dia memanfaatkan kesempatan itu untuk meletakkan Senegal di depan pada minit ke-41.

Pada ketika penyokong Qatar mula meninggalkan stadium pada permulaan babak kedua, Famara Diedhou menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-48.

Muntari merapatkan jurang menerusi tandukan padu pada minit ke-78, tetapi pemain gantian Senegal, Bamba Dieng menjaringkan gol pada minit ke-84.

Keputusan itu menyaksikan Qatar menduduki tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata manakala tiga pasukan lain memiliki tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 11:31 PM