MANE (tengah) berjaya meledak gol ketiga Senegal ketika mengalahkan Congo 3-1 di tempat lawan. FOTO Agensi
MANE (tengah) berjaya meledak gol ketiga Senegal ketika mengalahkan Congo 3-1 di tempat lawan. FOTO Agensi
AFP

Johannesburg: Bintang Liverpool, Sadio Mane berjaya mencetak gol buat Senegal dalam kempen kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, manakala Nigeria dan Tunisia turut meraih kemenangan untuk mendahului kumpulan masing-masing.

Pemain Terbaik Afrika itu berjaya menebus kesalahan dilayangkan kad kuning di Congo Brazzaville untuk melengkapkan kemenangan 3-1 ke atas Congo dengan menyempurnakan penalti pada minit ke-87.

Boulaye Dia meletakkan Senegal di depan sebelum tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti Silvere Ganvoula pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Penyerang Watford, Ismaila Sarr meletakkan pelawat di depan sekali lagi sebelum Mane mengesahkan kemenangan Senegal melalui sepakan penalti.

Bagi memburu kelayakan ke Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut, Senegal sekarang ini sudah meraih enam mata dalam Kumpulan H diikuti Namibia empat mata, Congo satu mata dan Togo tanpa sebarang mata.

Sementara itu, Ahmed Musa yang membuat kemunculan ke-100 buat Nigeria, yang berdepan masalah ketiadaan tujuh pemain berikutan larangan merentas negara oleh Britain akibat Covid-19, berjaya membantu negaranya menumpaskan Cape Verde 2-1 di Mindelo.

Antara pemain tidak dapat beraksi ialah bintang Leicester City, Kelechi Iheanacho, yang meledak dua gol buat Super Eagles dalam aksi pembukaan Kumpulan C empat hari lalu ketika menentang Liberia.

Victor Osimhen menyamakan kedudukan pada minit ke-29 selepas tuan rumah mendahului menerusi Dylan Tavares dan aksi Kumpulan C itu berakhir dengan Kenny Rocha menjaringkan gol sendiri 14 minit sebelum perlawanan tamat.

Nigeria, yang mara ke Piala Dunia sebanyak enam kali, mendahului kumpulan dengan enam mata, diikuti Liberia tiga mata, manakala Cape Verde dan Central African Republic masing-masing hanya mengutip satu mata.

Gol pada awal dan lewat perlawanan membolehkan Tunisia mencatat kemenangan 2-0 ke atas Zambia di Ndola, sekali gus membolehkan negara Afrika Utara itu memiliki kelebihan tiga mata dalam Kumpulan B.

Bekas penyerang Liga Perdana Inggeris (EPL), Wahbi Khazri menyempurnakan penalti pada minit kesembilan dan pemain gantian, Anis Ben Slimane menyudahkan percubaan jarak dekat pada masa kecederaan.

Tunisia sekarang ini memungut enam mata, diikuti Equatorial Guinea yang berkongsi kedudukan kedua bersama Zambia selepas penalti Ivan Salvador membolehkan mereka mencatat kemenangan 1-0 ke atas Mauritania di Malabo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 12:26 PM