REAKSI kecewa pemain kebangsaan selepas tewas kepada Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF. FOTO Bernama
REAKSI kecewa pemain kebangsaan selepas tewas kepada Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kekalahan kepada Vietnam dan Thailand dalam aksi Piala AFF menunjukkan jurang besar dimiliki skuad Harimau Malaya yang dianggotai kebanyakannya muka baharu.

Ketiadaan hampir separuh tonggak utama yang tidak menyertai Piala AFF perlu dihimpunkan kembali menjelang saingan lebih besar iaitu Piala Asia yang dijadual berlangsung pada Januari 2024 di Qatar nanti.

Menurut Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, beliau secara peribadi menganggap skuad kendalian Kim Pan-gon di Piala AFF itu mempunyai jurang agak ketara dengan skuad utama sebelum ini.

Bukan mahu menidakkan keupayaan pemain dalam skuad kali ini, namun jurulatih berpengalaman itu melihat kekalahan 0-3 di tangan Vietnam dan 1-3 secara agregat kepada Thailand adalah bukti perbezaan kualiti yang ada.

Katanya, standard permainan ditunjukkan Vietnam dan Thailand adalah tahap sebenar saingan Piala Asia yang akan ditempuhi oleh skuad Harimau Malaya di mana dua negara terbabit juga layak secara merit bersama Malaysia dan Indonesia dari rantau ini.

"Pasukan kena lepaskan pemain utama selepas ini bagi membolehkan Pan-gon bentuk pasukan lebih kuat untuk Piala Asia.

"Saya percaya nanti pasukan seperti JDT (Johor Darul Ta'zim) akan beri Pan-gon pemain utama yang saya fikir, kebanyakan pemain berkualiti tempatan sudah ada di sana.

"Malah, pemain lain dari Sri Pahang macam Nor Azam Azih, pemain KL City serta pemain sedia ada (dalam skuad Piala AFF ketika ini) macam Brendan Gan, Faisal Halim dan lain-lain akan kuatkan lagi pasukan.

"Memang kita ada menang dengan Laos dan Singapura, tapi mereka tidak layak ke Piala Asia. Pasukan yang layak ke Piala Asia adalah Vietnam dan Thailand, dan kita kalah dengan mereka.

"Ramai kata pasukan sekarang ada semangat tinggi…ini saya nak cakap, dalam Piala Asia nanti semangat saja tak cukup tetapi kualiti juga perlu dan amat mustahak.

"Jadi kita perlukan kembali pemain berkualiti. Saya harap Pan-gon dah jumpa dan tahu pemain mana yang beliau perlukan nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Malaysia layak ke Piala Asia selepas kali terakhir beraksi di pentas itu pada 1980.

Skuad Harimau Malaya menamatkan badi itu selepas muncul lima naib juara terbaik dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia di Bukit Jalil Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 3:55 PM