ANNAS Rahmat (kanan) antara tonggak penting Negeri Sembilan FC pada pertembungan dengan KDA FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Selasa ini. FOTO Ihsan NSFC
ANNAS Rahmat (kanan) antara tonggak penting Negeri Sembilan FC pada pertembungan dengan KDA FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Selasa ini. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) enggan mendabik dada meskipun mereka hanya memerlukan keputusan seri ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC, pada perlawanan kedua saingan Piala Malaysia, Selasa ini.

Walaupun bakal beraksi di laman sendiri di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, skuad bimbingan K Devan itu sedar kelebihan jaringan yang mereka miliki ke atas Kedah belum menjamin untuk mendapat laluan mudah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Pemain pertahanan tengah berpengalaman pasukan itu, Annas Rahmat, akui pasukannya belum boleh menarik nafas lega kerana dalam bola sepak sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Justeru katanya, rakan-rakan sepasukan yang bakal dipilih menggalas cabaran, perlu mengekalkan persembahan terbaik, pada pertembungan kedua, Selasa nanti.

"Dari segi kedudukan antara kedua-dua pasukan, sememangnya pasukan kami hanya memerlukan keputusan seri, untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

"Bagaimanapun dalam bola sepak sebarang kemungkinan boleh berlaku dan kita tidak boleh ambil mudah kerana Kedah yang mempunyai impian sama untuk mara ke pusingan berikutnya sudah tentu bakal memberikan tentangan habis-habisan.

"Oleh itu, kami perlu berwaspada dengan kebangkitan pasukan Kedah dan perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mendapatkan kemenangan," katanya di sini, hari ini.

Pada perlawanan pertama di Stadium Darul Aman Alor Setar, 22 Oktober lalu, Negeri Sembilan melakar kemenangan tipis, 2-1 ke atas Kedah.

Menurut Annas, Kedah adalah pencabar yang baik dalam Liga Super dan sebuah pasukan yang berpengalaman dalam saingan Piala Malaysia.

"Faktor ini sudah tentu akan memberikan cabaran yang besar buat kami untuk menewaskan mereka.

"Namun, saya optimis Negeri Sembilan berupaya untuk mengekalkan kemenangan ke atas Kedah dan seterusnya melangkah ke pusingan seterusnya," kata pemain yang menjadi antara tonggak penting skuad Hobin Jang Hobin apabila berjaya membantu pasukan itu menjulang kejuaraan Liga Perdana musim lalu.

Dia yang pernah beraksi bersama Melaka United FC dan Petaling Jaya City (PJ City) FC sebelum ini bersedia untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan.

"Saya bersedia untuk diturunkan bagi membantu pasukan meraih kemenangan dan menjadi impian untuk membawa Negeri Sembilan mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia musim ini," kata Annas sambil mengharapkan penyokong hadir beramai-ramai di stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan.

Pertembungan kedua-dua pasukan itu nanti dijangka sengit kerana masing-masing mempunyai pengalaman bersaing di pentas berprestij itu selain pernah mencatat sejarah selaku juara kejohanan bola sepak tertua di Asia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 2:28 PM