PENJAGA gol KDA FC, Mohd Ifwat Akmal (kiri) menghalang percubaan pemain   Negeri Sembilan FC, Mohd Zaquan Adha.
PENJAGA gol KDA FC, Mohd Ifwat Akmal (kiri) menghalang percubaan pemain Negeri Sembilan FC, Mohd Zaquan Adha.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) tidak melihat kelebihan jaringan mereka perolehi hasil kemenangan tipis ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC, 2-1, pada aksi pertama saingan Piala Malaysia, Sabtu lalu, sebagai kelebihan buat mereka untuk mara ke peringkat seterusnya.

Sebaliknya, pemain skuad Hobin Jang Hobin akan bersikap berhati-hati dalam usaha mempertahankan kelebihan itu kerana sedar mereka bakal menghadapi tugas sukar pada aksi timbal balik di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Selasa ini.

Justeru itu, penolong ketua pasukan, Nasrullah Hanif Johan, mahu rakan sepasukan sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan kebangkitan skuad Helang Merah.

Menurutnya, kelebihan satu gol belum menjamin untuk pasukan berasa selesa dan barisan pemain perlu bekerja lebih keras dengan mengekalkan persembahan mantap bagi menyekat kebangkitan skuad Helang Merah pada pertembungan kedua itu nanti.
"Kami tidak boleh ambil mudah hanya kerana sudah memiliki kelebihan jaringan, sebaliknya perlu meneruskan persembahan terbaik dan memastikan kemenangan dicapai pada aksi kedua ini.

"Kelebihan yang ada perlu kami digunakan sebaik mungkin untuk membawa pasukan melangkah ke pusingan suku akhir Piala Malaysia.

"Saya dapat menjangkakan tugas kami kali ini berbeza kerana Kedah sudah pasti memberikan tentangan habis-habisan, namun yakin rakan-rakan dalam pasukan tidak akan mensesia-siakan peluang dimiliki untuk membawa pasukan ke pusingan seterusnya," katanya di sini, hari ini.

Nasrullah yang dijangka kembali dalam kesebelasan utama pasukan itu selepas tidak beraksi pada perlawanan pertama di Alor Setar kerana penggantungan, berjanji untuk membantu bahagian pertahanan daripada serangan pasukan lawan.

Tonggak pertahanan berpengalaman itu yakin, pasukannya mampu mengulangi rekod cemerlang di laman sendiri dengan menewaskan Kedah, seperti mana mereka capai pada saingan Liga Super, sebelum ini.

"Memang rekod pertemuan dengan Kedah dalam Liga Super di Paroi, memihak kepada kita, tapi kami perlu berwaspada kerana cabaran dalam Piala Malaysia jelas berbeza dengan setiap pasukan bekerja lebih keras untuk mendapatkan kemenangan.

"Namun begitu, saya yakin dengan persiapan pasukan dan apa yang penting pemain perlu berusaha menterjemahkan perancangan jurulatih dengan sebaiknya pada pertembungan itu nanti dan seterusnya merealisasikan kemenangan," katanya.

Nasrullah berharap penyokong pasukan itu dapat hadir beramai-ramai ke stadium bagi memberikan sokongan dan menaikkan semangat pemain pada perlawanan penting serta penentu bagi pasukan mara ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Sebagai rekod, Negeri Sembilan menjulang kejuaraan Piala Malaysia sebanyak dua kali pada edisi 2009 dan 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 8:57 PM