KHUZAIMI berusaha mengekang asakan pemain PJ City FC dalam aksi Liga Super di Paroi, minggu lalu. FOTO Ihsan NSFC
KHUZAIMI berusaha mengekang asakan pemain PJ City FC dalam aksi Liga Super di Paroi, minggu lalu. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Status pemain kebangsaan membuatkan Ahmad Khuzaimi Piee sentiasa fokus dan berusaha memberikan aksi terbaik dalam setiap persembahannya mengawal benteng Negeri Sembilan FC (NSFC), pada kempen Liga Super musim ini.

Selepas mengharungi empat perlawanan liga tanpa kalah, Khuzaimi terus menyerlah di posisi bek tengah sebelah kiri bersama skuad Hobin Jang Hobin di bawah kendalian K Devan.

Pemain berusia 28 tahun kelahiran Melaka itu bertekad untuk mengekalkan prestasi terbaiknya menjelang perlawanan seterusnya menentang Kuala Lumpur (KL) City FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Ahad ini.

"Perlawanan menentang KL City kali ini mungkin dilihat lebih mencabar, walaupun kami pernah menentang mereka dalam perlawanan merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2022 pada peringkat pramusim yang lalu.

"Walaupun kami menang dalam pertemuan itu, tapi ia tidak boleh dijadikan ukuran kerana suasana sudah berbeza dan kami perlu bersedia dari segala aspek jika inginkan kemenangan.

"Kejayaan menewaskan PJ City FC minggu lalu yang juga kemenangan pertama di laman sendiri musim ini, perlu diteruskan kerana ia peluang terbaik untuk pasukan mendapatkan mata kemenangan," katanya di sini, hari ini.

Justeru itu, Khuzaimi mengingatkan rakan sepasukan supaya berhati-hati dengan strategi KL City, selepas pasukan itu mula mempamerkan kebangkitan apabila mencatat dua kemenangan termasuk yang terbaru mengatasi Sabah FC.

"KL City mengamalkan corak persembahan agresif dengan larian dan serangan pantas, malah mereka memiliki beberapa pemain yang mampu menjaringkan gol dalam situasi sukar.

"Namun, saya yakin strategi sedemikian sudah dapat difahami rakan-rakan dan mereka akan berusaha memberikan aksi terbaik bagi memastikan kemenangan dapat dicapai sekali gus mempertahankan rekod bersih pasukan," katanya.

Dalam pada itu, dia yang bergandingan dengan Nasrullah Hanif Johan, Khair Jones dan Herold Goulon, akui selesa bersama Negeri Sembilan kerana kerjasama serta sokongan diberikan rakan-rakan amat baik.

"Saya selesa bersama pasukan ini dan ia adalah peluang yang harus saya gunakan dengan sebaiknya untuk memberikan sumbangan terbaik kepada Negeri Sembilan musim ini," kata bekas pertahanan UitM FC itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 5:26 PM