POTTER meraikan kejayaan Chelsea ke atas Salzburg. FOTO AFP
POTTER meraikan kejayaan Chelsea ke atas Salzburg. FOTO AFP
AFP

Salzburg: Pengurus Chelsea, Graham Potter gembira dapat mengesahkan slot ke pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara walaupun berbaki satu lagi perlawanan selepas menang 2-1 ke atas Salzburg.

Rembatan cantik Kai Havertz ketika aksi berbaki 26 minit membuktikan perbezaan antara kedua-dua pasukan selepas Junio Adamu memadamkan gol pembukaan Mateo Kovacic untuk The Blues.

Kemenangan itu meneruskan rekod tanpa kalah Chelsea di bawah Potter kepada sembilan perlawanan.

Bekas pengendali Brighton itu dilantik selepas aksi terakhir Thomas Tuchel berkesudahan dengan kekalahan 0-1 kepada Dinamo Zagreb dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E.

Seri 1-1 di laman sendiri kepada juara Austria pada aksi pertama Potter menyaksikan Chelsea perlu mendaki gunung yang tinggi.

Bagaimanapun, kemenangan berturut-turut ke atas AC Milan meletakkan kembali kempen mereka di peringkat Eropah pada landasan sebenar dan satu lagi kemenangan membolehkan mereka mendahului empat mata ke atas Salzburg.

"Ia aksi yang luar biasa daripada pemain. Saya gembira kami berjaya mara ketika berbaki satu lagi perlawanan. Berbeza kedudukan ketika kami memulakan kejohanan ini," kata Potter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 11:46 AM