PENGADIL melayangkan kad merah kepada Felix di Craven Cottage.
PENGADIL melayangkan kad merah kepada Felix di Craven Cottage.
AFP

London: Graham Potter menggesa pemain Chelsea kekal bersatu selepas tewas mengejut 1-2 di Fulham yang menyaksikan penyerang baharu Blues, Joao Felix dibuang padang pada penampilan pertamanya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Skuad Potter kini tewas tujuh daripada sepuluh perlawanan terakhir dalam semua kejohanan selepas satu lagi persembahan hambar.

Chelsea ketinggalan menerusi jaringan bekas pemain sayap mereka, Willian pada babak pertama di Craven Cottage.

Kalidou Koulibaly menyamakan kedudukan selepas rehat tetapi Felix dibuang padang akibat mengasari Kenny Tete.

Fulham mendapat gol kemenangan lewat perlawanan hasil kesilapan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga susulan gagal menyelamatkan bola hantaran lintang Andreas Pereira yang dimanfaatkan Carlos Vinicius sekali gus meningkatkan lagi tekanan ke atas Potter yang berdepan pemecatan hanya empat bulan selepas menggantikan Thomas Tuchel.

"Kami melakukan beberapa kesilapan ketika gol pertama mereka. Kemudian kad merah merubah perlawanan. Kecewa dengan gol kedua kerana saya fikir kami boleh melakukannya dengan lebih baik dan kami menanggung akibatnya," kata Potter.

Potter minggu ini menganggap menguruskan Chelsea adalah tugas paling berat dalam bola sepak susulan tempoh sukar yang menjejaskan kepercayaan pemiliknya terhadap bekas pengendali Brighton itu.

Chelsea kini menduduki tangga ke-10, sepuluh mata di belakang kelompok empat teratas selepas hanya sekali menang dalam sembilan aksi terakhir liga.

Mereka hanya mampu meledak empat gol dalam lapan perlawanan terakhir membabitkan semua kejohanan dan Potter kini terdesak mendapatkan kemenangan ketika menentang Crystal Palace Ahad ini sekali gus bagi mengurangkan tekanan ke atasnya.

"Kami perlu terus berusaha dan bekerja lebih keras. Tiada cara lain. Kekal bersatu dan cuba sebaik mungkin mendapatkan tiga mata," kata Potter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 7:32 AM