SYIHAN fokus cabaran Piala Malaysia. FOTO MFL
SYIHAN fokus cabaran Piala Malaysia. FOTO MFL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Biarpun kecewa kerana gagal membantu pasukan melayakkan diri ke saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2023, penjaga gol utama Negeri Sembilan FC (NSFC), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, tetap fokus untuk membawa pasukan melakar pencapaian cemerlang musim ini.

Negeri Sembilan gagal melayakkan diri ke saingan AFC musim depan selepas kecundang kepada Sri Pahang FC, 0-2, pada aksi penutup tirai saingan Liga Super musim ini, di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu lalu.

Pemain skuad Harimau Malaya itu menyifatkan rezeki ternyata tidak menyebelahi skuad Hobin Jang Hobin untuk mencipta pencapaian lebih tinggi, selepas persembahan mantap yang dirancangkan awal, tidak menjadi.

"Memang saya dan rakan-rakan telah cuba memberikan persembahan terbaik sepanjang tempoh permainan, namun rezeki tidak menyebelahi kami untuk menewaskan Sri Pahang dan mendapatkan tiga mata.

"Kekalahan itu jelas memberikan pengajaran buat saya dan mungkin kepada rakan-rakan dalam pasukan kerana peluang kami untuk melayakkan diri ke saingan Piala AFC 2023, terlepas.

"Apapun, keputusan itu tidak akan meluntur atau menjejaskan semangat serta komitmen kami, sebaliknya akan tetap fokus untuk membantu pasukan meraih pencapaian membanggakan musim ini," katanya di sini, hari ini.

Menurut pemain berusia 26 tahun itu, fokus ketika ini terarah kepada persiapan menghadapi cabaran saingan Piala Malaysia yang bermula 25 Oktober ini.

Katanya, Negeri Sembilan bakal berhadapan dengan tugas mencabar apabila diundi bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC pada peringkat saingan kalah mati itu.

"Melalui format kalah mati ini, kami perlu mengekalkan persembahan terbaik sepanjang tempoh permainan dan memastikan kemenangan.

"Kami tidak boleh menganggap mudah reputasi lawan, malah rekod yang dicapai sebelum ini iaitu pada saingan Liga Super juga tidak boleh dijadikan ukuran kerana cabaran dalam Piala Malaysia ternyata berbeza," katanya.

Syihan Hazmi akui betapa dia perlu lebih fokus dan sentiasa berusaha meningkatkan lagi tahap prestasi dan persembahan menjelang pertembungan dengan Kedah nanti.

"Kami perlu gandakan usaha dan memperbaiki segala kelemahan untuk membolehkan kami mampu melangkah jauh pada kempen Piala Malaysia musim ini," katanya.

Sebagai rekod pada aksi Liga Super, Negeri Sembilan merekodkan keputusan seri 0-0 di Stadium Darul Aman sebelum menang 4-3 pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 6:24 PM