DEVAN memberi arahan kepada pemainnya ketika sesi latihan baru-baru ini. FOTO NSFC
DEVAN memberi arahan kepada pemainnya ketika sesi latihan baru-baru ini. FOTO NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Baki empat perlawanan terakhir Liga Super sememangnya kritikal buat Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam misi memburu slot ke pentas saingan Piala AFC musim depan.

Ini berikutan mereka bakal menghadapi persaingan sengit dengan tiga pasukan lagi yang memburu slot sama membabitkan Terengganu FC (TFC) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC selain Sabah FC.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan, K Devan, menegaskan beliau mahu menamatkan saingan Liga Super musim ini sekurang-kurangnya dalam kelompok tiga teratas sekali gus berpeluang bersaing ke Piala AFC musim depan.

Katanya, walaupun berdepan dua aksi sukar menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu ini sebelum menerima kunjungan Kedah, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 7 Oktober, beliau optimis anak buahnya mampu menghadirkan tentangan terbaik.

"Tiada tekanan buat kami walaupun saingan Liga Super semakin hampir di penghujungnya, malah saya positif pemain boleh berikan fokus terbaik untuk empat perlawanan terakhir ini.

"Semua pemain dalam keadaan meyakinkan dan mereka ternyata bersemangat serta sangat dahagakan kejayaan.

"Saya juga berasa lega dengan persiapan dibuat apabila semua pemain bebas daripada kecederaan kecuali Ahmad Khuzaimi (Piee) yang tidak boleh beraksi satu perlawanan berdepan JDT ekoran digantung satu perlawanan," katanya di sini, hari ini.

Menurut Devan yang juga pengurus pasukan, pihaknya mahu memastikan skuad Hobin Jang Hobin kekal di kedudukan ketiga carta kerana ia akan menjamin tempat ke Piala AFC pada musim depan.

"Sekiranya kami mampu layak, ini sesuatu yang baik kepada pasukan kerana dapat bermain di pentas tertinggi seperti Piala AFC," katanya yang mahu pemain mempamerkan persembahan cemerlang pada aksi menentang JDT untuk mendapatkan keputusan positif.

Dalam pada itu, Devan akui gembira dengan prestasi penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dan pertahanan, Khuzaimi Piee yang terus menunjukkan prestasi baik bersama pasukan kebangsaan di Kejohanan Piala Raja Thai 2022.

Selain aksi berdepan JDT dan Kedah, Negeri Sembilan bakal menentang Melaka United FC di laman sendiri pada 11 Oktober diikuti bertemu Sri Pahang FC di tempat lawan untuk melengkapkan kempen Liga Super 2022.

Juara Liga Perdana musim lalu itu kini mengumpul 35 mata selepas melalui 18 perlawanan dan hanya ketinggalan satu mata di belakang Sabah, namun diekori rapat TFC yang meraih 32 mata serta Kedah (27 mata), yang masih ada kelebihan satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 2:15 PM