Mohd Amin Jalil


Seremban: Memori tewas kepada Johor Darul Ta`zim (JDT) di laman sendiri bulan lalu sudah dilupakan skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) yang kini bertekad untuk bangkit mencipta kemenangan apabila melayani kunjungan Sri Pahang FC, dalam aksi Liga Super, malam esok.

Pemain kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed berkata, selepas misi mendapatkan tiga mata tidak kesampaian dalam tiga aksi sebelum ini, dia dan rakan sepasukan tidak rela berputih mata dan mahu memastikan kemenangan dicapai, dalam pertembungan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, esok.

Penjaga gol berusia 26 tahun ini berkata, selain kecundang kepada JDT, skuad Hobin Jang Hobin juga sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dalam dua perlawanan terdahulu iaitu menentang Kedah Darul Aman dan Melaka United.

"Keputusan dalam tiga perlawanan lalu jelas tidak begitu memberangsangkan kerana tidak memihak kepada kami apabila tewas kepada JDT selain seri dengan Kedah serta Melaka yang kedua-duanya di tempat lawan.

"Oleh itu, kami bertekad untuk mempamerkan persembahan lebih baik dengan menjelma kemenangan dalam perlawanan menentang Sri Pahang malam esok.

"Saya pasti semua pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih akan bekerja keras memberikan persembahan terbaik untuk memastikan kemenangan dapat direalisasikan," katanya di sini hari ini.

Syihan Hazmi yang setakat ini beraksi dengan cemerlang, juga yakin dengan keupayaan jentera serangan dan tengah pasukan itu dan dengan kehadiran dua pemain import baharu iaitu Gustavo Almeida dan Yashir Pinto, mampu menambah sengat di bahagian masing-masing.

Menurut pemain kelahiran Kelantan itu, ketua jurulatih K Devan juga sudah memaklumkan bahawa semua pemain import dalam keadaan cergas dan boleh beraksi pada perlawanan menentang Sri Pahang.

"Situasi itu ternyata melegakan dan akan memberikan keyakinan kepada saya dan semua rakan-rakan untuk melaksanakan tugas dengan baik dan cemerlang kerana kemenangan amat penting untuk pasukan mengekalkan kedudukan kelompok teratas carta liga," katanya.

Syihan Hazmi juga akui bahawa dia sudah mendapat keyakinan baharu selepas bersama Harimau Malaya bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2023, baru-baru ini.

"Banyak perkara baik dapat saya pelajari bersama skuad kebangsaan dan fokus sekarang ini untuk terus meningkatkan lagi prestasi dan memastikan dapat membantu menjulang Negeri Sembilan dalam saingan liga musim ini," katanya yang berjanji akan mempertahankan kubu pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 4:30 PM