DATUK Posa Majais. FOTO ARKIB NSTP
DATUK Posa Majais. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ada sinar di hujung terowong buat barisan pemain Sarawak United apabila pengurusan pasukan terbabit akan menyelesaikan semua tunggakan gaji selewat-lewatnya minggu depan.

Berita gembira itu disahkan Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais apabila menjelaskan bahawa peruntukan untuk pembayaran gaji termasuk yang tertunggak sudah diluluskan beberapa hari lalu.

Beliau berkata, pihaknya akan menyelesaikan tunggakan gaji pemain secara berperingkat, sekali gus tidak akan timbul lagi isu itu pada masa akan datang.

"Peruntukan pembayaran gaji termasuk yang tertunggak berjumlah lebih RM2 juta sudah diluluskan dan barisan pemain akan menerima bayaran mereka kelak.

"Kami sedaya upaya menyelesaikan masalah itu, malah ada antara pemain mengambil wang 'advance' (pendahuluan) daripada pihak pengurusan dalam tempoh berkenaan.

"Jadinya, saya ingin tekankan bahawa pengurusan Sarawak United bukannya mengambil sikap sambil lewa, cuma mahu menunggu kelulusan peruntukan terlebih dahulu untuk membayar semua hutang terbabit," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan menerima laporan mengenai tunggakan gaji selama empat bulan membabitkan pemain pasukan Sarawak United hingga ada pemain dihalau dari tempat tinggal.

Menerusi satu kenyataan media, PFAM mengakui sudah mengeluarkan dua notis kepada Sarawak United.

Jelas PFAM, walaupun ada pergerakan pembayaran dilakukan, ia tidak dibayar secara penuh seperti mana nilai yang dijanjikan dalam kontrak setiap pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 1:50 PM