PEMAIN Leeds United, Adam Forshaw menjatuhkan pemain Barnsley, Callum Styles pada perlawanan awal pagi hari ini. FOTO Reuters
PEMAIN Leeds United, Adam Forshaw menjatuhkan pemain Barnsley, Callum Styles pada perlawanan awal pagi hari ini. FOTO Reuters
Reuters

Manchester: Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) mengatasi lawan dari divisyen bawah, awal pagi hari ini, untuk mara ke pusingan ketiga Piala Liga.

Undian pusingan ketiga menyaksikan Newcastle akan berdepan Crystal Palace manakala Leeds berkunjung ke Wolverhampton Wanderers.

Perlawanan tumpuan sudah tentu juara bertahan EPL, Manchester City akan menentang naib juara Piala Liga musim lalu, Chelsea.

Newcastle terpaksa bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan kelab divisyen keempat (Liga Dua), Tranmere Rovers yang mendahului menerusi Elliott Nevitt pada minit ke-24.

Jamaal Lascelles menyamakan kedudukan buat pasukan bimbingan Eddie Howe sebelum rehat dan penyerang New Zealand, Chris Wood menanduk masuk sepakan penjuru Kieran Trippier pada minit ke-52, untuk memastikan kemenangan 2-1.

Leeds turut dicabar sebelum menang 3-1 ke atas jirannya di Yorkshire iaitu Barnsley.

Rembatan Louis Sinisterra dari jarak 20 meletakkan Leeds di depan sebelum Mateusz Klich menjadikan kedudukan 2-0 menerusi sepakan penalti.

Bagaimanapun, tandukan terbang Mads Andersen memberikan harapan kepada Barnsley dan mereka sepatutnya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti, namun percubaan Callum Styles terkena tiang.

Klich kemudian mengesahkan kemenangan pasukannya menerusi sepakan melencong pada minit ke-56.

Kelab EPL, Brighton & Hove Albion menang 3-0 mengatasi kelab Liga Satu, Forest Green Rovers untuk bertemu Arsenal di pusingan ketiga.

Kelab Liga Kejuaraan, Bristol City menang 3-1 di kelab Liga Satu, Wycombe Wanderers.

Aksi lain di pusingan ketiga pada awal November termasuk Manchester United melayan kunjungan Aston Villa manakala Liverpool menanti pasukan Liga Satu, Derby County.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 8:53 AM