COADY tampil 10 kali bersama England.
COADY tampil 10 kali bersama England.
Reuters

London: Pertahanan England, Conor Coady berpindah ke Everton dari Wolverhampton Wanderers dengan pinjaman jangka panjang, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hari ini.

"Menakjubkan dapat menyertai Everton," kata Coady yang beraksi tujuh tahun di Wolves dan menjadi kapten pasukan untuk tempoh empat tahun terakhir.

"Sebaik sahaja mengetahui minat ditunjukkan mereka, pengurus (Frank Lampard) malah kelab sendiri, saya benar-benar mahu menyertai Everton," kata Coady dalam laman web Everton.

"Saya membesar di sekitar bandar itu. Saya seorang yang terdesak datang ke sini. Saya mempunyai keluarga dan rakan-rakan yang menjadi peminat tegar Everton."

Pemain berusia 29 tahun itu berpindah ke Wolves sebagai pemain tengah pada 2015 dari Huddersfield Town dan beralih ke posisi pertahanan tengah di bawah kendalian pengurus Wolves, Nuno Espirito Santo. Dia tampil 317 perlawanan dalam semua kejohanan untuk kelab.

"Conor antara tonggak kejayaan kami sejak lima musim lalu," kata pengerusi Wolves, Jeff Shi.

"Dedikasinya kepada Wolves amat kami hargai dan kami ucapkan selamat maju jaya kepada Coady."

Coady mempunyai 10 kap bersama England dan tampil kali pertama pada Ogos 2020 ketika menentang Denmark dalam aki Liga Negara-Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 7:50 AM