BRAVO selematkan penalti dalam penentuan penalti Piala Liga awal pagi tadi. FOTO/AFP
BRAVO selematkan penalti dalam penentuan penalti Piala Liga awal pagi tadi. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Penjaga gol Manchester City, Claudio Bravo muncul wira pendahulu Liga Perdana Inggeris itu ketika menewaskan peneraju Liga Kejuaraan, Wolves 4-1 dalam penentuan penalti Piala Liga awal pagi tadi.

Perlawanan di Stadium Etihad itu menyaksikan kedudukan masih terikat tanpa jaringan selepas 30 minit masa tambahan, dan perebutan ke suku akhir terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

BRAVO mengekang penyerang Wolves, Helder Costa. FOTO/AFP
BRAVO mengekang penyerang Wolves, Helder Costa. FOTO/AFP

Bravo bertindak cemerlang menafikan dua sepakan penalti berturut-turut Alfred N’Diaye dan Conor Coady.

Sergio Aguero, yang kurang satu gol untuk menjadi penjaring terbanyak City, memastikan kemenangan dengan sepakan gaya Panenka. Memandangkan gol penyerang Argentina itu dijaringkan dalam penentuan penalti, dia kekal menyamai rekod Eric Brooks pada 177 gol.

PEMAIN tengah Wolves, Alfred N'Diaye  kecewa selepas tewas kepada City. FOTO/AFP
PEMAIN tengah Wolves, Alfred N'Diaye kecewa selepas tewas kepada City. FOTO/AFP

Arsenal, yang menurunkan skuad berbeza daripada kesebelasan utama yang menewaskan Everton 5-2, hampir dimalukan Norwich City di Emirates sebelum penyerang bawah 19 tahun England, Eddie Nketiah menyamakan kedudukan di saat akhir.

Nketiah hanya memerlukan 15 saat sebaik dimasukkan untuk memadamkan kelebihan jaringan Josh Murphy untuk Norwich dan mengheret permainan ke masa tambahan.

Pemain 18 tahun itu memastikan Arsenal ke suku akhir apabila menanduk masuk gol kemenangan.

Kelab tercorot Liga Perdana Inggeris, Crystal Palace tersingkir selepas tewas 4-1 kepada Bristol City di Ashton Gate.

Juara bertahan Piala Liga Manchester United menewaskan seteru Liga Perdana Swansea 2-0 hasil jaringan Jesse Lingard.

Bournemouth mencatat kemenangan 3-1 ke atas Middlesbrough di laman sendiri, manakala Leicester bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan kelab Liga Kejuaraan Leeds United 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 9:41 AM