GAYA Richarlison meraikan jaringan ketika menentang Wolves di Goodison Park. - FOTO Reuters
GAYA Richarlison meraikan jaringan ketika menentang Wolves di Goodison Park. - FOTO Reuters
Reuters

RICHARLISON menjaringkan dua gol dan Alex Iwobi turut meledak jaringan liga pertamanya ketika Everton menewaskan Wolverhampton Wanderers 3-2 di Goodison Park dalam aksi Liga Perdana malam ini.

Wolves menghadiahkan gol pembukaan pada minit kelima selepas kesilapan pertahanan, Conor Coady dan penjaga gol, Rui Patricio membolehkan Richarlison merembat kencang untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.

Everton tidak bernasib baik empat minit kemudian apabila hantaran rendah Adama Traore ke kotak penalti gagal ditampan kemas pertahanan, Seamus Coleman dan Romain Saiss pantas menolak bola masuk untuk gol penyamaan Wolves.

Iwobi kembali meletakkan pasukannya di hadapan tiga minit kemudian menerusi tandukan kencang selepas mendapat hantaran cantik Gylfi Sigursson.

Selepas layak ke peringkat kumpulan Liga Europa dengan menewaskan Torino 5-3 secara agregat minggu lalu, Wolves tampak hilang tenaga pada babak kedua sehinggalah Raul Jimenez menyamakan kedudukan menerusi tandukan selepas mendapat bola lontaran jauh ke kotak penalti pada minit ke-74.

Richarlison memastikan tiga mata milik Everton pada minit ke-80 selepas menanduk masuk melepasi jangkauan Patricio walaupun diasak Willy Boly.

Boly kemudiannya diarah keluar padang selepas mendapat kad kuning kedua dan Everton kekal bertahan untuk meraih kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 11:49 PM