MALIK mahu gempur Penang FC.
MALIK mahu gempur Penang FC.
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC akan memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri apabila melayan kunjungan Penang FC pada suku akhir Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Penyerang skuad itu, Abdul Malik Mat Ariff berkata, kelebihan dimiliki itu tidak harus dilepaskan dalam misi ke separuh akhir piala berprestij itu.

"Sudah pasti saya dan rakan sepasukan akan mempamerkan persembahan terbaik untuk membawa Sri Pahang melangkah ke separuh akhir. Saya jangkakan kami akan diberi tentangan sengit kerana Penang juga mahu mencatat kemenangan kerana mereka juga mahu mara lebih jauh.

"Saya harap segala perancangan yang dilakukan jurulatih (Dollah Salleh) menjadi untuk meneruskan kemaraan Sri Pahang dalam saingan Piala FA musim ini," katanya.

Abdul Malik berkata, sebagai penyerang, dia akan berusaha untuk muncul selaku penjaring buat skuad Tok Gajah.

Katanya, gol pertama musim ini ketika berdepan Terengganu FC (TFC) pada 3 Julai lalu, adalah pencetus semangat untuk meneruskan sentuhan jaringan.

"Saya gembira kerana sudah menunggu lama untuk menjaringkan gol dan berdepan Penang, saya dan rakan akan memanfaatkan peluang yang ada dengan jaringan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 9:50 PM