PEMAIN tengah Sri Pahang FC, Malik (kanan) akan memastikan aksi perlawanan berdepan PJ City akan berakhir dengan kemenangan. FOTO IHSAN Sri Pahang FC
PEMAIN tengah Sri Pahang FC, Malik (kanan) akan memastikan aksi perlawanan berdepan PJ City akan berakhir dengan kemenangan. FOTO IHSAN Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Pemain tengah Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff mahu memastikan aksi berdepan PJ City FC akan berakhir dengan kemenangan apabila kedua-dua bertemu di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.

Pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu berkata dua keputusan seri pada dua perlawanan berturut-turut ketika berdepan Melaka United dan Sabah FC sudah cukup menyakitkan.

"Lebih-lebih lagi, lawan menjaringkan gol penyamaan pada minit akhir perlawanan ketika tiga mata bakal menjadi milik pasukan.

"Oleh itu, saya dan rakan sepasukan akan memastikan aksi perlawanan berdepan PJ City akan berakhir dengan kemenangan Ahad ini.

"Pada masa sama, kami akan berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan sama terutama kekal fokus sehingga wisel penamat," katanya.

Setakat ini, Abdul Malik sudah menjaringkan dua gol buat Sri Pahang ketika seri 2-2 berdepan Sabah dan Selangor (2-2).

Mengulas peluang meraih tiga mata ke atas PJ City Ahad ini, Abdul Malik percaya dua perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri akan bertukar kepada kemenangan.

Katanya, sudah tiba masanya skuad Tok Gajah tidak lagi terlepas tiga mata terutama beraksi di laman sendiri.

"Nasihat jurulatih (Dollah Salleh) supaya kami kekal fokus sehingga wisel penamat akan dilakukan dengan sebaik mungkin.

"Kemenangan amat penting untuk memastikan Sri Pahang melonjakkan kembali kedudukan bagi mengelak berada di zon penyingkiran," katanya,

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 3:06 PM