ABDUL Malik (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan Piala Malaysia 2021 ketika menentang Penang FC, di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, 3 November lalu. FOTO Mikail Ong
ABDUL Malik (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan Piala Malaysia 2021 ketika menentang Penang FC, di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, 3 November lalu. FOTO Mikail Ong
Asrol Awang


Kuantan: Sentuhan berbisa dua penyerang, Abdul Malik Mat Ariff dan Kenny Athiu terus menjadi sandaran Sri Pahang FC apabila melayan kunjungan Sarawak United di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Selepas empat perlawanan, Abdul Malik dan Athiu masing-masing menjaringkan tiga gol selepas beraksi cemerlang ketika menang ke atas Penang FC dengan jaringan besar 4-0 dan 5-0.

Justeru, pengendali skuad itu, Dollah Salleh mengharapkan prestasi cemerlang dua penyerang berkenaan untuk merobek gawang Sarawak United.

"Saya harap Malik dan Athiu kekal dengan prestasi bertenaga masing-masing iaitu dapat menjaringkan gol sekali gus membantu Sri Pahang mengutip tiga mata.

"Pada masa sama, bahagian tengah dan pertahanan mempamerkan persefahaman mantap seperti yang dipersembahkan ketika menewaskan Penang FC pada dua perlawanan berturut-turut itu," katanya.

Ditanya peluang mengutip tiga mata pada perlawanan malam esok, Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan meminta anak buahnya memanfaatkan segala peluang yang dimiliki.

Katanya, ini kerana pasukan lawan sudah pasti mahu mencatat kemenangan untuk mengisi slot ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

"Dalam kumpulan A, semua pasukan masih berpeluang untuk layak ke suku akhir dan kelebihan beraksi di tempat sendiri diharap dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

"Saya percaya dua kemenangan berturut-turut menambah lagi keyakinan pemain untuk mengekalkan rentak permainan kerana misi utama untuk mengutip tiga mata," katanya.

Dalam Kumpulan A, Kuala Lumpur (KL) FC mengungguli kedudukan dengan lapan mata, diikuti Sarawak United, Sri Pahang dan Penang FC.

Peluang masih lagi terbuka buat empat pasukan untuk untuk menempah tiket ke suku akhir piala berprestij itu musim ini dengan baki dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 5:47 PM