KETUA Jurulatih Selangor Michael Feichtenbeiner. -FOTO NSTP
KETUA Jurulatih Selangor Michael Feichtenbeiner. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ketua Jurulatih Selangor Michael Feichtenbeiner menjelaskan tiada pasukan di dunia ini termasuklah Manchester City mampu meraih kemenangan pada setiap perlawanan yang disertai mereka.

Pandangan itu sekali gus menggambarkan Selangor sebelum ini tidak bernasib baik walaupun hakikatnya barisan kejurulatihan dan pemain berusaha memastikan skuad Gergasi Merah memperoleh keputusan positif.

Beliau berkata, kemenangan 1-0 dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi, membuktikan bahawa Selangor berusaha keras untuk meraih kemenangan dalam setiap perlawanan.

Namun, pengendali dari Jerman itu berkata barisan pemainnya akan cuba untuk mendapatkan lebih banyak kemenangan dalam perlawanan akan datang bagi menggembirakan penyokong Gergasi Merah.

"Sudah pasti kami mahu menang setiap perlawanan, tetapi saya rasa tiada pasukan di dunia ini walaupun Manchester City yang boleh memenangi setiap perlawanan.

"Tapi yang penting kami mahukan kemenangan, jika turun beraksi kami mahu menyerang dan menang. Untuk saya, kami tidak beraksi buruk dalam beberapa perlawanan sebelum ini terutama berdepan Sabah.

"Hari ini adalah bagus, tapi perlawanan seterusnya, Sabtu ini, setiap orang mengharapkan tiga mata, jadi kami pergi untuk mendapatkan tiga mata," katanya selepas perlawanan.

Kejayaan menewaskan jiran tetangga itu menyaksikan Selangor mara ke pusingan suku akhir dan akan berdepan Sabah di Stadium Likas, 23 Julai ini.

Feichtenbeiner dan pemain Selangor berdepan tekanan hebat sebelum menentang KL City susulan prestasi kurang konsisten dalam Liga Super hingga muncul desakan daripada penyokong supaya pengendali berusia 61 tahun itu dipecat.

Selain itu, Feichtenbeiner menganggap kemenangan ke atas KL City dan mara ke suku akhir Piala FA sebagai hadiah terbaik buat dirinya yang menyambut hari ulang tahun kelahiran, hari ini.

"Ia bagus untuk hari ulang tahun kelahiran jika kita menang. Terima kasih kepada pemain untuk persembahan yang baik dan saya berasa mereka sangat (bersungguh-sungguh) kerana banyak tekanan kepada kami sekarang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 1:51 PM