MBAPPE tiba di Pusat Latihan Ooredoo semalam bagi menyertai sesi latihan.
MBAPPE tiba di Pusat Latihan Ooredoo semalam bagi menyertai sesi latihan.
Agensi

Paris: Paris Saint-Germain mahu menjual 11 pemain pada musim panas bagi membolehkan mereka membiayai gaji Kylian Mbappe dan Lionel Messi.

Mbappe melanjutkan kontraknya tiga tahun lagi bersama juara Ligue 1 itu sehingga 2025 sekaligus perpindahan ke Real Madrid pada musim panas ini seperti yang dijangkakan banyak pihak tidak menjadi kenyataan.

Mbappe kini menikmati gaji lumayan £42.5 juta (RM223.59 juta) setahun selain tambahan bonus £153 juta (RM804 juta) susulan kekal di Parc des Princes.

Namun ia bukanlah kontrak tertinggi pernah diberikan kepada mana-mana pemain. Lionel Messi menerima £64 juta (RM336 juta) setahun ketika musim-musim terakhirnya di Barcelona.

Dia terpaksa menerima pengurangan gaji yang besar iaitu £25.5 juta (RM134 juta) setahun selepas berpindah ke PSG pada musim panas lalu tetapi meningkat £34 juta (RM178 juta) pada tahun terakhir di Paris mengikut syarat kontrak.

Laporan mendakwa Messi menerima lebih €1 bilion (RM4 bilion) sepanjang kariernya, lebih daripada mana-mana pemain.

Menurut Le Parisien, PSG kini menyasarkan penjualan 11 pemain dalam skuad utama bagi mengurangkan beban kewangan dan membolehkan mereka menumpukan pembayaran gaji pemain 'superstar'.

Beberapa bintang berprofil tinggi termasuk dalam senarai. Antaranya Giorginio Wijnaldum yang menyertai Les Parisiens menerusi perpindahan percuma pada musim panas lalu, penyerang Argentina Mauro Icardi dan pemain tengah Danilo Pereira yang kedudukannya tergugat selepas kehadiran Vitinha.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 9:34 AM