MESSI bawa masuk banyak duit buat PSG.
MESSI bawa masuk banyak duit buat PSG.
Agensi

London: Gergasi Ligue 1, Paris Saint-Germain dilaporkan mahu melanjutkan kontrak penyerang Argentina, Lionel Messi untuk setahun lagi.

Pemenang tujuh kali Ballon d'Or itu mengikat kontrak di ibu kota Perancis sehingga 2023 selepas berpisah dengan Barcelona pada musim panas lalu.

Perpindahan ke PSG tidak seperti diharapkan apabila sumbangan golnya paling buruk dalam tempoh 15 tahun tetapi impak ekonomi yang dibawa Messi kepada kelab dari segi penjualan jersi dan penajaan menyebabkan kelab sukar melepaskannya.

Menurut Marca, juara Ligue 1 itu memberitahu penyerang berusia 35 tahun terbabit mereka mahukan dia kekal melebihi musim panas akan datang tetapi tawaran kontrak baharu belum dihulurkan.

Messi difahamkan hanya akan membuat keputusan mengenai masa depannya selepas tamat Piala Dunia Qatar.

Terdapat laporan kontrak sudah siap termasuk pilihan lanjutan setahun tetapi Marca mendakwa itu bukan persoalannya.

Selepas bergelut dengan masalah kecergasan sejurus mengikat kontrak dengan PSG pada musim panas lalu, gol pertama Messi hanya diperolehi pada November dan selepas itu hanya meledak enam kali dalam aksi Ligue 1 sepanjang kempen.

Dia menduduki tangga kedua di belakang Kylian Mbappe dari sergi carta bantuan jaringan (14) manakala menjaringkan lima gol di Liga Juara-Juara.

Kontrak Messi di Paris menyaksikan dia dibayar gaji £960,000 (RM5 juta) seminggu menjadikan dia pemain berpendapatan kedua tertinggi di dunia di belakang Mbappe.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 12:34 PM