AURA SNBJ luar biasa buat skuad negara. -FOTO NSTP
AURA SNBJ luar biasa buat skuad negara. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak untuk terus menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi menghadapi kempen Piala AFF hujung tahun ini.

Begitupun, keputusan untuk memilih SNBJ perlu memenuhi piawaian perlawanan antarabangsa termasuk keadaan padang yang diharapkan bertambah baik selepas Kelayakan Piala Asia 2023 di venue itu bulan lalu.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya sedar kelebihan beraksi di SNBJ yang mampu menaikkan 'bulu roma' sesiapa saja yang hadir dengan sokongan padu lebih 80,000 penyokong.

Namun, pihaknya lebih melihat kepada kualiti daripada kuantiti bagi memastikan skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon mampu beraksi baik di atas permukaan padang yang menepati piawaian antarabangsa.

"Walaupun AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) kata tidak ada halangan (AFC tiada masuk campur soal pemilihan stadium dalam Piala AFF), tapi kita kena tahu sama ada padang itu sesuai atau tidak.

"Kalau jurulatih kata tak sesuai, takkan kita nak guna. Apa guna jika ia akan mencederakan pemain ataupun beri kesan ke atas perlawanan dan sebagainya, macam mana kita nak guna.

"Itu (aura SNBJ) kita tak nafikan sebab stadium itu stadium nasional, tapi untuk peringkat antarabangsa padang kena elok. Tapi kita tak nafikan aura kalau padang itu, tapi kalau teruk (padang) sangat macam mana," katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan FAM mungkin memilih venue luar Lembah Klang sebagai lokasi aksi Piala AFF jika penggunaan SNBJ tidak mendapat kelulusan daripada AFC bagi melangsungkan dua aksi Piala AFF hujung tahun ini.

Ia susulan ekoran isu rumput dan air bertakung di padang ketika kempen Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 yang menyaksikan AFC seolah-olah 'merajuk' dan enggan membenarkan aksi antarabangsa diadakan di situ selagi masalah berkenaan tidak diatasi.

Bagaimanapun, Arena Metro mendapatkan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John yang menjelaskan pihaknya tidak ada halangan jika SNBJ digunakan untuk Piala AFF kerana saingan serantau itu bukanlah kejohanan rasmi di bawah Fifa dan ia hak AFF untuk meluluskan.

Saingan Piala AFF kembali menggunakan format lama dengan empat aksi peringkat kumpulan akan dilangsungkan secara 'home' dan 'away' bakal menyaksikan dua perlawanan skuad Harimau Malaya dilangsungkan di depan penyokong sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 1:20 PM