SAIFUDDIN Abu Bakar. -FOTO NSTP
SAIFUDDIN Abu Bakar. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Venue luar Lembah Klang mungkin menjadi pilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jika penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil tidak mendapat kelulusan dari Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi melangsungkan dua aksi Piala AFF hujung tahun ini.

Saingan Piala AFF yang kembali menggunakan format lama dengan empat aksi peringkat kumpulan akan dilangsungkan secara 'home' dan 'away' bakal menyaksikan dua perlawanan skuad Harimau Malaya dilangsungkan di depan penyokong sendiri.

Seperti format pada saingan 2018 lalu, setiap pasukan berpeluang menjadi tuan rumah bagi dua aksi peringkat kumpulan dengan dua perlawanan lagi diadakan di tempat lawan.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, beberapa stadium akan disenaraikan termasuk Stadium Nasional Bukit Jalil yang juga gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya.

Begitupun, disebabkan isu rumput dan air bertakung ketika kempen Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Bukit Jalil bulan lalu menyaksikan AFC seolah 'merajuk' dan enggan membenarkan aksi antarabangsa diadakan di situ selagi masalah berkenaan tidak diatasi.

Jelas Saifuddin, sekiranya Bukit Jalil tidak dapat digunakan, pihaknya perlu mencari stadium lain dengan beberapa venue luar Lembah Klang berpotensi untuk dicadangkan.

"Kita akan berhubung dengan AFC dan melihat adakah Stadium Nasional Bukit Jalil boleh menjadi tuan rumah untuk Piala AFF nanti.

"Tapi kalau tak boleh, kita perlu mencari stadium lain. Mungkin di Melaka ke (Stadium Hang Jebat), di Kuantan ke (Stadium Darul Makmur), di Negeri Sembilan (Stadium Paroi) ataupun di Penang (Stadium Batu Kawan atau Stadium Bandaraya).

"Jadi kita akan lihat dan kaji sebelum membuat keputusan venue mana yang akan digunakan kalau Bukit Jalil tak boleh guna," katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, Stadium Nasional Bukit Jalil mendapat kritikan hebat daripada peminat tempatan apabila permukaan padang di venue berkenaan bertukar menjadi 'sawah' sekiranya hujan turun dengan lebat.

Malah, kemudahan tandas di bahagian bawah stadium juga ditenggelami ekoran sistem perparitan yang mungkin tersumbat.

Susulan itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengarahkan agar Stadium Nasional Bukit Jalil ditutup segera bagi kerja baik pulih dan tidak boleh ditangguhkan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 2:21 PM