FEICHTENBEINER gagal lonjak prestasi Selangor FC.
FEICHTENBEINER gagal lonjak prestasi Selangor FC.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kedudukan pengendali Selangor FC, Michael Feichtenbeiner bagaikan 'telur di hujung tanduk' apabila kemungkinan akan dipecat jika prestasi pasukan tidak menunjukkan peningkatan pada perlawanan akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pengurusan pasukan sudah memberikan amaran keras kepada pengendali dari Jerman itu untuk melakukan 'sesuatu' kepada pasukan atau berdepan tindakan susulan.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru dengan memecat Feichtenbeiner kerana perlu memikirkan implikasi kepada kedudukan kewangan kerana dibimbangi perlu menanggung kerugian besar hingga menjejaskan perkara lain.

Katanya, ketika ini Feichtenbeiner diberikan 'sedikit' ruang dan peluang untuk melakukan perubahan, namun jika tidak berjaya berbuat demikian beliau boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Selangor.

"Ramai mahu kami mengambil tindakan segera memecat Feichtenbeiner namun adakah mereka tahu Selangor berdepan kerugian ratusan ribu ringgit kerana perlu membayar pampasan kepada jurulatih itu.

"Namun, tidak bermakna kami tidak akan mengambil tindakan (pecat) kepada beliau berdasarkan peluang yang diberikan namun prestasi pasukan masih sama saja.

"Pada masa sama, kami juga mahu melihat kepada faktor lain yang mungkin menyebabkan prestasi pasukan seperti 'yo-yo' iaitu tidak mampu konsisten meraih keputusan positif pada setiap perlawanan terdahulu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Prestasi Selangor ketika ini mengundang kemarahan penyokong dan kekalahan kepada Melaka United baru-baru ini menjadi malam kemuncak.

Desakan peminat ada asasnya selepas pasukan itu dilihat gagal memberi saingan setakat ini, malah gagal mendakap sebarang kejuaraan ketika di bawah kendalian jurulatih Jerman itu.

Selepas sembilan perlawanan, Selangor berada di kedudukan ketujuh Liga Super dengan 12 mata hasil tiga kemenangan, tiga seri selain tiga kekalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 9:27 PM