PENGENDALI dari Jerman, Michael Feichtenbeiner tidak lagi melatih skuad Selangor FC. FOTO FB SELANGOR FC
PENGENDALI dari Jerman, Michael Feichtenbeiner tidak lagi melatih skuad Selangor FC. FOTO FB SELANGOR FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Enggan terus meratapi prestasi terumbang-ambing skuad Selangor FC menyebabkan pengurusan pasukan itu melaksanakan skop pencarian jurulatih baharu lebih luas termasuk kemungkinan menggunakan khidmat pengendali 'K-pop'.

Ini kerana, pengurusan Selangor tidak mahu lagi terlalu 'berkiblatkan' pengendali Eropah apabila melihat jurulatih dari Asia turut mempunyai sentuhan magis dalam membantu pasukan meraih kejayaan lebih gemilang kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pihaknya ketika ini dalam usaha mencari pengendali baharu yang bersesuaian dan tepat untuk membawa juara 33 kali Piala Malaysia itu meraih kejayaan positif.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan akan menggunakan khidmat jurulatih tempatan jika mereka berkelayakan dan mampu membawa Selangor FC ke peringkat lebih tinggi.

"Kita akan melihat calon daripada semua aspek dan tidak lagi menumpu kepada satu perkara saja. Mungkin boleh jadi jurulatih dari Korea Selatan kerana sudah melihat kejayaan dibawa oleh pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon dalam mengubah corak permainan skuad kebangsaan.

"Pada masa sama, jika ada jurulatih tempatan yang bersesuaian turut akan diberikan perhatian kerana perkara penting adalah membawa Selangor ke landasan tepat.

"Sekarang ini, kita serahkan kepada jurulatih sementara, Nidzam Jamil untuk mengemudi pasukan dan jika beliau berjaya membuktikan keupayaannya mungkin akan dinaikkan 'pangkat'," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan jodoh Michael Feichtenbeiner bersama Selangor FC selaku pengendali pasukan itu nampaknya tidak panjang apabila beliau tidak lagi memegang jawatan terbabit pada baki saingan Liga Super.

Sebaliknya, Feichtenbeiner hanya memegang satu jawatan saja ketika ini iaitu sebagai pengarah teknikal Selangor dengan skop kerja lebih kepada mengendalikan program pembangunan pasukan itu.

Sementara itu, Shahril berkata, pihak pengurusan bukannya terlepas pandang atau lewat untuk memecat Feichtenbeiner sebagai pengendali Selangor FC susulan prestasi hambar pasukan itu.

"Ramai yang tidak tahu sebenarnya Feichtenbeiner memegang jawatan sebagai jurulatih Selangor FC November tahun lalu dan sebenarnya beliau mengendali pasukan tidak sampai setahun sebelum dikenakan tindakan.

"Jadinya, tidak timbul isu pengurusan Selangor FC lewat memecat beliau kerana kita seharusnya memberinya peluang mengemudi dan mencorak pasukan jika mahu melihat hasilnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 8:00 PM