JURULATIH PSM Makassar, Bernardo Tavares pada sidang media praperlawanan final Piala AFC 2022 Zon Asean, hari ini. FOTO AZHAR RAMLI
JURULATIH PSM Makassar, Bernardo Tavares pada sidang media praperlawanan final Piala AFC 2022 Zon Asean, hari ini. FOTO AZHAR RAMLI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali PSM Makassar, Bernardo Tavares melancarkan 'perang psikologi' menjelang aksi final Piala AFC Zon Asean menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Jurulatih dari Portugal itu mendakwa KL City FC seolah-olah mendapat layanan istimewa daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang memilih Kuala Lumpur sebagai venue aksi final itu.

Katanya, seharusnya AFC memilih lokasi berkecuali untuk perlawanan kedua-dua pasukan terbabit.

"Kalau tidak boleh bermain di Indonesia tidak mengapa, tapi kenapa tidak bermain di tempat lain?.

"Saya tak ada isu dengan pasukan KL City atau AFC, sebaliknya saya sukakan Malaysia. Tapi sekali lagi, kami akan menentang KL City di Kuala Lumpur.

"Buatlah di tempat lain yang penyokong boleh hadir dan menyokong pasukan, jadi kenapa tak boleh bermain di tempat lain, mengapa mesti Kuala Lumpur…tiada siapa yang mempersoalkannya. Saya dan pemain ingin tahu," katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.

Sebelum ini, kedua-dua pasukan pernah bertemu dalam peringkat Kumpulan H Piala AFC yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Ini adalah pertemuan kedua selepas masing-masing melepasi peringkat separuh akhir Piala AFC Zon Asean sebelum ini.

Jelas Tavares, beliau menghormati kekuatan skuad The City Boys dan mengakui lawan dilihat lebih bersedia berbanding aksi terdahulu.

"Mereka pasukan yang kuat dan mereka ada penyerang baharu yang tidak menentang kami dalam aksi sebelum ini. Esok adalah perlawanan 11 lawan 11 dan KL City adalah pilihan untuk menang.

"Tapi kami akan memberi sebaik mungkin untuk cuba mengejutkan tuan rumah dan berharap pengadil berlaku adil sepanjang aksi itu nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 3:43 PM