MALIK tidak beraksi ketika Sri Pahang tewas di tangan Sabah.
MALIK tidak beraksi ketika Sri Pahang tewas di tangan Sabah.
Asrol Awang


Kuantan: Penyerang berpengalaman Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff tidak sabar beraksi apabila skuad itu berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC), Sabtu ini. Pemain kelahiran Kuantan itu yang tidak beraksi ketika Tok Gajah tewas 1-2 di tangan Sabah FC Sabtu lalu, mahu memastikan skuad itu kembali meraih mata.

"Saya tidak dapat bermain pada pertemuan dengan Sabah kerana mengalami kecederaan pada paha kanan. Kecederaan itu dialami pada aksi persahabatan berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC ketika saingan Liga Super berehat. "Setakat ini, kecederaan yang dialami semakin pulih dan dijangka boleh bermain berdepan NSFC Sabtu ini," katanya.

Ditanya perlawanan Sabtu ini, Abdul Malik berkata, mereka tidak boleh terlepas mata bagi mengelak berada di kedudukan lebih bahaya.

Justeru, katanya, komitmen dan persefahaman mantap akan menjadi tumpuannya bersama rakan sepasukan untuk kembali meletakkan Sri Pahang pada kedudukan terbaik.

"Saya percaya Sri Pahang akan bangkit untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan liga," katanya.

Selepas sembilan perlawanan, skuad kendalian Christophe Gamel berada di kedudukan ke-10 dengan mengutip lapan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 6:17 PM