PEMAIN tengah, Nor Azam Azih ketika menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya. FOTO FB FAM
PEMAIN tengah, Nor Azam Azih ketika menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya. FOTO FB FAM
Asrol Awang


Kuantan: Khidmat pemain tengah Harimau Malaya, Nor Azam Azih tetap ditagih Sri Pahang FC apabila berdepan Sabah FC di Stadium Likas, Sabtu ini.

Ketua jurulatih Sri Pahang, Christophe Gamel berkata, skuad itu amat memerlukan pemain berpengalaman itu bagi memperkasakan pasukan.

"Memang khidmat Azam ditagih Sri Pahang dalam membentuk pasukan mantap untuk berdepan Sabah nanti.

"Namun setakat ini saya tidak dapat mengesahkan sama ada Azam bermain bersama Sri Pahang kerana dia baru sahaja beraksi bersama Harimau Malaya.

"Apa yang boleh saya jelaskan, jika Azam mungkin ada, tiada apa berubah kerana matlamat utama pasukan adalah mencatat keputusan positif di tempat lawan," katanya.

Musim ini, Azam bukan sahaja nadi utama skuad Tok Gajah, malah pemain tengah itu membantu skuad kebangsaan layak ke Piala Asia 2023.

Lebih manis Harimau Negara melayakkan diri secara merit selepas 43 tahun.

Gamel mengesahkan, beberapa pemain skuad itu mengalami kecederaan dan kemungkinan tersisih apabila berdepan Sabah.

Namun, katanya, masalah kecederaan itu diharap tidak menjejaskan perancangannya ketika skuad Sri Pahang mahu mencatat kemenangan atau sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 7:22 PM